SIAPA ketua dalam kerjasama antara Umno dan PAS bukan isu utama, kata pimpinan Umno di akar umbi, kerana yang lebih mustahak ialah perpaduan orang Melayu dan Islam yang hendak diangkat demi masa depan Malaysia.
Mereka mengingatkan, Umno dan PAS hendak menjalin kerjasama pun kerana isu perpaduan Melayu dan Islam, maka soal siapa memimpin siapa tidak harus timbul.
Mereka bagaimanapun menyerahkan isu itu kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi parti untuk menentukan siapa yang wajar menerajui kerjasama Umno dan PAS, termasuk mencadangkan agar ia ditentukan mengikut keperluan setempat dan ikut keadaan.
“Yang penting bukan siapa yang mengetuai tetapi paling utama perpaduan ummah ini akan memberi impak yang besar kepada politik negara pada masa depan,” kata Ketua Umno Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli.
Bagaimanapun Faizal berkata, dalam mana-mana sistem demokrasi, parti yang menguasai bilangan kerusi terbanyak biasanya diangkat sebagai parti peneraju.
“Dalam mana-mana sistem demokrasi, mana yang menguasai lebih kerusi akan mengetuai bagi menjaga kestabilan dalam mana-mana gabungan politik.
“Pilihan raya umum akan datang ini bukan sesuatu yang boleh diambil mudah walaupun kerajaan Pakatan Harapan yang ada pada hari ini dibelenggu dengan pelbagai isu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Bagaimanapun Ketua Umno Bahagian Sepang Noorazli Said berkata parti yang menerajui kerjasama itu nanti harus disesuaikan mengikut keperluan politik setempat di bahagian dan negeri.
Ini kerana, katanya, senario di kawasan berbeza antara satu sama lain.
“Perkara ini perlu ikut situasi. Ada tempat macam di Kelantan dan Terengganu mungkin PAS boleh ketuai tetapi di pantai barat seperti Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, ini mungkin Umno kena ketuai,” katanya.
Tambah beliau lagi, senario politik pada hari ini tidak membenarkan mana-mana parti mendominasi parti lain kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan.
“PAS tiada pengalaman memerintah dan Umno pula masih bergelut dengan masalah parti dan krisis keyakinan rakyat. Melalui penyatuan ummah ini, ada toleransi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Shahanim Mohamad Yusof mengingatkan soal agama Islam dan kepentingan Melayu yang semakin dicabar lebih perlu diberi perhatian berbanding parti mana layak menerajui kerjasama Umno dan PAS.
Katanya, PAS tidak perlu khuatir sekiranya Umno yang menerajui kerjasama kerana ia sudah menjaga soal agama dan kaum dengan adil sepanjang lebih 60 tahun jadi tunjang pemerintah dalam Barisan Nasional.
“Umno sudah 60 tahun memimpin sebelum ini… tiada masalah seperti yang timbul dalam tempoh setahun kerajaan PH memerintah ini,” katanya.
Kelmarin, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama melontarkan pandangan bahawa PAS harus mengetuai mana-mana pakatan politik pada masa depan.
Beliau memberikan pandangan tersebut selepas melihat kegagalan parti Islam itu yang hanya jadi “pengikut” dalam pakatan politiknya selama ini.
PAS pernah bekerjasama dengan Umno untuk membentuk BN pada 1974, yang ketika itu menggunakan perpaduan Melayu sebagai ideologi bersama.
Menjelang pilihan raya umum 1990, PAS juga pernah bersama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut dianggotai Parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
PAS kemudian bekerjasama dengan parti PKR, DAP dan PRM dalam Barisan Alternatif, yang dibubarkan pada 2004. Ia dihidupkan semula dengan nama Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008 dengan membawa agenda keadilan sosial. – 22 Jun, 2019
Komen