Mansuhkan saja sekolah vernakular, kata Wanita PAS


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Sayap Wanita PAS juga menggesa Putrajaya menolak cadangan menjadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua, sebaliknya mencadangkan kerajaan memilih Bahasa Arab. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019.

SEKOLAH rendah vernakular di negara ini perlu dimansuhkan kerana ia tidak menggalakkan perpaduan antara rakyat, kata seorang perwakilan sayap Wanita PAS hari ini.

Salamiah Md Nor juga menggesa Putrajaya menolak cadangan menjadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua dan sebaliknya mencadangkan kerajaan memilih Bahasa Arab.

“Sistem vernakular perlu dimansuhkan kerana tidak membawa kepada perpaduan. Saya juga tak dapat teriama mana-mana cadangan untuk jadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS Ke-16 di Kuantan hari ini.

“Kita hendak Bahasa Arab dijadikan bahasa kedua.”

Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengulas berkata pandangan yang dilontarkan oleh perwakilan tidak semestinya mewakili pendirian parti.

Beliau yang juga menteri besar Terengganu, berkata situasinya sama dengan sebuah rumah tetapi setiap penghuninya mempunyai pandangan yang berbeza.

“Dalam sebuah rumah, si ayah akan ada pandangan tertentu, dan anak-anak pula ada pandangan berbeza. Tetapi keputusan akhir akan ditentukan oleh ayah atau ibu.”

“Kita ada 1,200 perwakilan. Jadi, mustahil pandangan semua orang sama.

“Ini menambah kepelbagaian dalam parti. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen