DURIAN tidak mustahil dapat menguatkan hubungan antara Malaysia dan China memandangkan permintaan terhadap ‘raja buah’ di negara itu kian meningkat, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Selain meningkatkan eksport dalam bentuk biji, kerajaan kini sedang meneliti untuk mengeksport lebih banyak produk berasaskan durian ke China.
“Kita mungkin perlu runding semula beberapa projek dengan China, tetapi tidak durian, kerana ia disukai ramai,” Salahuddin memberitahu The Malaysian Insight.
“‘Diplomasi durian’ ini mungkin dapat menguatkan lagi sejarah panjang hubungan antara Malaysia dan China.”
Menurut Salahuddin, pengguna di China terus meminati durian dari Malaysia, terutamanya ‘Musang King’ yang terkenal dengan isinya yang tebal, manis dan sedikit pahit.
“Malaysia telah mempromosikan durian yang berkualiti tinggi ke China dengan moto ‘Durian bawa kegembiraan’. Ini kerana orang bukan makan durian sahaja,” katanya.

Sebanyak 1,000 tan metrik durian sejuk beku dijangka dieksport ke China sebulan. Hasil eksport itu dijangka memberi nilaian kepada sumbangan eksport negara kira-kira RM500 juta setahun.
Setakat sehingga 2018, Malaysia mempunyai ladang durian seluas 72,464 hektar.
Pengurus projek Top Fruits Sdn Bhd, Tan She Sian yang sudah lama menanam dan mengeksport durian, berkata rancangan untuk menubuhkan Persatuan Ladang Durian Malaysia kini sedang dirangka. Setakat ini, beliau sudah mengumpulkan sembilan pemain utama untuk dilibatkan dalam persatuan tersebut.
Menurut Tan, sejak beberapa tahun kebelakangan, pelabur semakin tertarik dengan perusahaan penanaman durian.
“Ramai pelabur China dan syarikat tempatan sudah melabur dalam ladang durian di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau menganggarkan dalam tempoh lima tahun jumlah ladang durian akan melebihi tiga kali ganda, meliputi lebih 40,000 hektar di seluruh Malaysia Timur.
Namun, oleh kerana ia buah bermusim akan menjejaskan bekalan dan menyebabkan pengusaha mencari jalan untuk memastikan bekalan tidak terputus.
Pemain industri minyak sawit juga kini beralih kepada penanaman durian, akibat kejatuhan harga minyak dan keyakinan bahawa permintaan tinggi dari China akan melonjakkan harga ‘raja buah’ itu.
Meskipun kos penanaman durian tinggi, yang dikatakan sekitar RM50 juta bagi setiap 404.86 hektar ladang, ini tidak menjadi penghalang bagi mereka.
Gan Hock Song dari Sabah berkata kini semakin ramai pelancong China ke negeri itu untuk menikmati keenakan durian.
Kebanyakan durian yang didapati di Sabah datang dari Pulau Pinang dan Thailand.
Hanya baru-baru ini sahaja peladang durian di Sabah mula menanam Musang King yang mengambil masa beberapa tahun untuk berbuah.
Gan berkata ramai pelabur asing melabur dalam perniagaan durian di Sabah, tetapi beliau tidak pasti angka sebenar. – 24 Jun, 2019.
Komen