Anwar tak dipaksa bayar apa-apa, kata penulis buku 


SM Amin

Anwar Ibrahim tidak dipaksa membuat sebarang bayaran bagi mendapatkan hakcipta ke atas satu manuskrip buku didakwa memburuk-burukkan presiden PKR itu, kata penulis Yahaya Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2019

ANWAR Ibrahim tidak dipaksa untuk membuat apa-apa bayaran bagi mendapatkan hakcipta ke atas satu manuskrip buku didakwa memburuk-burukkan presiden PKR itu, kata penulis Yahaya Ismail.

Oleh itu, Anwar tidak diperas ugut dengan manuskrip ‘Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri’ itu, kata Yahaya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

“Kalau hendak beli, beritahu dan kita runding berapa harga. Saya terbuka. Dalam industri penerbitan macam inilah perniagaannya. Tiada yang luar biasa,” katanya.

Tambahnya beliau melakukan perkara serupa pada 2009 sewaktu menawarkan kepada Khairy Jamaluddin untuk menerbitkan buku menteri bekas menteri itu.

“Macam Anwarlah. Kalau saya tidak beri manuskrip, mereka kata saya hendak peras ugut. Jadi saya beri dia (Khairy) manuskrip untuk dia baca dan buat keputusan,” katanya.

Katanya, beliau tidak menerima sebarang pembayaran walaupun cuba mendapatkan RM100,000 dari Khairy selepas menulis buku “Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin”.

Buku berkenaan ditulis sewaktu Khairy, yang merupakan naib ketua Pemuda Umno sedang meningkat naik pada ketika itu.

Malah, tiada pendakwaan dibuat terhadap dirinya selepas beliau menjelaskan kepada pihak polis bahawa beliau hanya menjual hakcipta dan bukannya memeras ugut.

“Kes itu selesai begitu sahaja, tiada apa-apa pendakwaan. Kalau dia (KJ) kata saya peras ugut, ada saya dapat duit? Tiada. Sama macam Anwar ini,” katanya.

Yahaya juga mendakwa Anwar hanya menggelarkannya sebagai penulis upahan kerana gagal menjawab isi kandungan manuskrip tersebut dengan fakta.

Tambahnya, beliau juga tidak pernah diheret ke mahkamah kerana menulis perkara fitnah.

“Saya tidak pernah diheret ke mahkamah. Saya kritik orang ini sejak zaman Dr Mahathir (jadi perdana menteri keempat),” katanya.

Malah beliau juga tidak dikenakan apa-apa tindakan apabila menyiarkan buku yang mengritik Abdullah Badawi, Najib Razak dan juga buku lain mengenai Anwar.

“Saya tidak kena apa-apa sebab saya cerita yang betul. Saya letak nama di setiap manuskrip atau buku yang saya tulis.

“Bila mereka tidak boleh balas dengan fakta, mereka tuduh saya penulisan upahan atau buat fitnah. Siapa upah? Saya tidak beri makan anak isteri dengan duit fitnah macam ini,” katanya.

Anwar semalam mendakwa Yahaya mengugut untuk menyiarkan sebuah buku yang memburuk-burukkannya sekiranya tidak mendapat bayaran sebanyak lebih RM400,000.

Mengulas lanjut, Yahaya juga berkata beliau akan meminda kandungan buku tersebut yang didakwa mempromosi Azmin sebagai perdana menteri baharu menggantikan Dr Mahathir.

Tambah Yahaya, beliau tetap akan berusaha menerbitkan buku tersebut walaupun tiada mana-mana pihak yang hendak membeli hakcipta buku itu.

Beliau berpendapat, tuduhan skandal seks yang dihadapi Azmin kini menyebabkan timbalan presiden PKR itu tidak lagi layak menjadi perdana menteri.

Satu laporan polis dibuat oleh pemimpin PKR ke atas Yahaya yang didakwa cuba memburuk-burukkan Anwar melalui usaha penerbitan buku tersebut.

Ahli Parlimen PKR Johari Abdul semalam berkata buku tersebut antara lain menuduh Anwar terlibat dengan aktiviti homoseksualiti, rasuah dan mendakwa presiden parti itu menjadi ejen Israel dan Amerika Syarikat. – 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen