TIDAK timbul siapa sepatutnya menerajui kerjasama antara Umno dan PAS kerana semua keputusan itu dibuat secara bersama, kata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, Umno dan PAS telah menubuhkan jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal bersama membincangkan pembentukan piagam muafakat tersebut.
Umno dan PAS saling mengakui masing-masing ada kekuatan dan kelemahan sendiri dan tiada parti yang dominan dalam kerjasama itu, katanya yang turut menganggotai dua jawatankuasa tersebut.
“Saya berada dalam kedua-dua jawatankuasa ini dan tidak pernah timbul siapa yang patut kuasai siapa kerana masing-masing ada kekuatan dan kelemahan.
“Kekuatan yang ada pada Umno mungkin dapat menampung kelemahan yang ada pada PAS. Begitu juga sebaliknya.
“Ini adalah perkara yang kita sepakati,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulan Pemuda Umno di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Asyraf, persoalan ini tidak seharusnya timbul kerana kerjasama Umno-PAS baru sahaja berapa pada asas memeterai piagam dan belum lagi masuk fasa seterusnya iaitu soal pembahagian kerusi.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama pagi tadi mahu PAS mengetuai mana-mana pakatan politik pada masa depan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas melihatkan kegagalan PAS yang hanya menjadi ‘pengikut’ dalam pakatan politik mereka selama ini.
Mengulas lanjut perkara itu, Asyraf memaklumkan Majlis Tertinggi Umno telah membincangkan isi kandungan piagam tersebut dan ada beberapa perkara yang sudah disepakati.
“Ini kita sudah sepakati untuk dibawa perundingan ke peringkat parti masing-masing. PAS katanya akan membentangkan sebagai sebahagian usul yang akan dibahaskan dalam muktamar kali ini.
“Julai nanti kita akan ada mesyuarat induk dan kita akan memperhalusi piagam ini dan kedua-dua kepimpinan tertinggi parti akan menentukan tarikh kita mengisytiharkan secara rasmi Piagam Muafakat Nasional ini,” ujarnya.
PAS pernah bekerjasama dengan Umno untuk membentuk Barisan Nasional pada 1974 dengan menggunakan isu perpaduan Melayu sebagai asas kerjasama.
PAS juga pernah bersama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut dianggotai Parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang membawa semangat Islam.
PAS kemudian mengadakan kerjasama dengan parti PKR, DAP dan PRM dalam Barisan Alternatif dan kemudian ditukar menjadi Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008 dengan membawa agenda keadilan sosial. – 20 Jun, 2019
Komen