Orang tak malu buat mungkar pada zaman Pakatan, dakwa anak Hadi


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi berkata penindasan ke atas Islam berlaku dengan cara lebih halus semasa pentadbiran PH. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 20 Jun, 2019.

PENINDASAN ke atas Islam berlaku dengan cara lebih halus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), dakwa pemimpin Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi.

Khalil yang baru tamat tempoh jawatan sebagai ketua Pemuda PAS mendakwa, ia berlaku melalui penyamarataan agama dan penularan budaya lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).

Walau tidak menyebut nama mana-mana pihak, beliau dipercayai mengaitkan skandal dihadapi pemimpin PKR apabila membangkitkan mengenai tuduhan skandal seks dan sebaran video lucah.

Dakwanya, individu yang mengaku melakukan seks dalam video tular itu tidak menunjukkan rasa malu sebaliknya berbangga dengan kemungkaran tersebut.

“Hari ini sudah hilang perasaan malu, berbangga buat maksiat sehingga video-video tular yang menjijikkan… Ini satu contoh realiti yang sangat membimbangkan.

“Sebab itu kita tekankan, kita tegaskan ancaman terhadap Islam sangat nyata berlaku dalam negara kita tapi dalam cara yang halus,” katanya ketika berucap pada Muktamar Pemuda PAS hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada sebaran beberapa video seks melalui aplikasi dalam talian sejak hari Selasa minggu lalu.

Keesokan harinya, seorang pemimpin Pemuda PKR Haziq Abdul Aziz tampil mengaku sebagai pelaku dalam rakaman video seks berkenaan.

Beliau turut menuduh Azmin Ali sebagai seorang lagi individu dalam rakaman tersebut, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh timbalan presiden PKR itu.

Azmin mendakwa tuduhan itu dibuat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Khalil, yang juga anak kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam ucapan hari ini berkata Islam diserang secara halus melalui liberalisme agama dan perjuangan hak asasi.

“Kita perlu memahami realiti Islam dalam negara kita, penindasan cara halus dan licik melalui agenda Islam liberal, Islam pluralisme, dan Islam sederhana,

“Ini lebih bahaya daripada bakar masjid seperti berlaku di Myanmar, larangan orang Islam berpuasa di China. Ini boleh runtuhkan akidah dan jati diri umat Islam,” katanya.

Beliau berkata Pemuda PAS sangat bimbang dengan ancaman terhadap Islam yang halus dan terancang seperti itu.

“Yang kita maksudkan ialah perkara sentuh ancaman terhadap Islam yang dibawa begitu halus.

“Golongan ini bukan sahaja untuk sama ratakan semua agama atas nama hak asasi manusia, mereka iktiraf dan jadikan perkara biasa maksiat dan kemungkaran, LGBT, seks bebas,” katanya. – 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen