Jemput Zamri tanda sokong Zakir Naik, kata panitia muktamar


Mohd Farhan Darwis

Panitia Muktamar Pemuda PAS membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pemuda PAS Perlis kerana menjemput Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berucap di persidangan itu semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2019.

PANITIA Muktamar Pemuda PAS membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pemuda PAS Perlis kerana menjemput Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berucap di persidangan itu semalam.

Naib ketua Pemuda PAS yang baru dilantik, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata mereka menjemput Zamri Vinoth kerana penceramah itu anak didik Zakir Naik.

Jelasnya, ia sebagai tanda sokongan kepada Zakir yang kini berdepan tekanan pelbagai pihak.

“Kami juga ada kesilapan tidak semak dahulu, atas perkara ini yang timbul rasa tidak senang kepada perwakilan Perlis muktamar mohon maaf khusus kepada Pemuda PAS Perlis.

“Pemuda PAS jemput beliau hadir atas kapasiti protege kepada Zakir Naik kerana kita nak nyatakan sokongan kepada Zakir Naik atas isu yang menimpa dan jemput beliau hadir,” katanya.

Afnan berucap sewaktu sesi penggulungan Muktamar Pemuda PAS kali ke-60 di Gambang, Pahang.

Beliau memberitahu perwakilan, jemputan itu juga atas saranan rakan-rakan dalam Pemuda PAS yang meminta supaya Zamri Vinoth turut sama menyampaikan ucapan.

“Adalah permintaan kawan-kawan apa salahnya diberi peluang beliau berucap. Memang menjadi amalan kita beri peluang jika tetamu ingin berucap.

“Atas kapasiti sebagai panitia muktamar, saya berbincang dengan pengerusi tetap beliau menunggu dari pagi, tanpa kita ketahui ada isu khusus antara beliau antara PAS Perlis,” katanya.

Pemuda PAS Perlis hari ini menjelaskan, mereka membantah kehadiran Zamri ke muktamar kerana penceramah tersebut menuduh mereka menganjurkan pemberontakan terhadap Raja Perlis.

Setiausaha Pemuda PAS Perlis Mohamad Azreen Jumri dalam ucapannya berkata Zamri juga menuduh PAS Perlis sebagai dalang di sebalik pemecatan imam masjid negeri itu.

“Kami difitnah (oleh) beliau (yang mendakwa PAS) dalang anjurkan pemberontakan kepada Raja Perlis.

“Ini yang menjadikan kami terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Zamri Vinoth,” kata Azreen dalam ucapannya terdahulu di persidangan Muktamar Pemuda PAS ke-60.

Pengarah Jabatan Amal Perlis Amirul Jufri Mat Saman semalam mengugut untuk keluar dewan sekiranya penganjur muktamar tidak menjelaskan jemputan Zamri.

Zamri Vinoth hari ini memberitahu The Malaysian Insight, beliau hanya hadir untuk berucap atas undangan Pemuda PAS.

Zamri turut menafikan dirinya terlibat dalam sebarang pertikaian dengan PAS. – 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen