Veteran perlu faham kerjasama dengan Umno demi Islam, kata wakil Pemuda PAS


Mohd Farhan Darwis

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berucap pada Muktamar Pemuda PAS kali ke-60 di Gambang, Pahang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Jun, 2019.

PERWAKILAN Pemuda PAS menggesa pemimpin parti menjelaskan kepada veteran parti Islam itu yang masih sangsi berhubung kerjasama mereka dengan Umno.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah Nasrun Othman berkata, masih ada veteran PAS yang tidak memahami tujuan tersebut dan sudah serik untuk bekerjasama dengan Umno lagi.

“Di samping nak fahamkan sahabat kita dari Umno kita juga kena fahamkan ahli jemaah yang veteran ini yang masih tidak bersetuju nak kerjasama dengan Umno sebab serik dan tidak faham.

“Kena bagi faham ahli PAS yang tidak bersetuju dengan penyatuan kerana mereka lihat Umno masih dengan perangai lama,” katanya.

Beliau berkata, penerangan yang jelas akan mampu memberikan kefahaman kepada ahli veteran kepentingan kerjasama itu untuk Islam.

Jelasnya, Pemuda PAS yakin golongan veteran tidak dapat memahami bahawa prinsip kerjasama itu demi mempertahankan Islam dan bukan sekadar mempertahan bangsa dan bahasa Melayu.

“Tapi kita yakin kalau beri penerangan jelas mereka boleh bersama kita kerana tujuan kita nak Islam memimpin.

“Maka demi Islam kita sanggup lupakan sejarah lama kerana kita nak perintah negara dengan Islam jadi teras kesatuan ini akan berikan kelebihan kepada kita jika kita bersatu padu pegang kepada tali Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan ucapan dasar ketua pemuda PAS, di Muktamar Pemuda PAS kali ke-60 di Gambang, Pahang hari ini.

Nasrun berkata kerjasama itu juga perlu diketuai PAS untuk membolehkan mereka melaksanakan tuntutan Al-Quran dan Sunnah.

“Kita nak kerjasama ini dapat melaksanakan dan memastikan Islam memerintah itu matlamat kita tetapi kita kena pastikan matlamat kerjasama ini ikhlas kerana Allah,” katanya.

Oleh itu usaha penyatuan berkenaan perlu dilakukan dengan ikhlas dan bukannya untuk meraih jawatan, katanya.

“Jangan ada antara kita nak jawatan atau kedudukan atau sebab lain maka ini akan mencacatkan dan menyebabkan kita tidak dapat bersatu.

“Kerjasama ini juga mestilah memberi manfaat dengan syarat PAS perlulah menjadi ketua dan berada di tempat atas maka kena pastikan al Quran dan Sunnah dapat dipertahankan.

“Anda setuju atau tidak kita kerjasama dengan Umno?,” soalnya lagi yang disahut dengan laungan setuju oleh para perwakilan. – 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen