PAKATAN Harapan akan menjalankan saringan sendiri calon mereka untuk pilihan raya akan datang, kata presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menambah tiada keperluan untuk calonnya disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dr Wan Azizah mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad yang berkata hanya Barisan Nasional sahaja parti yang menghantar senarai nama pemimpin dan akan bakal calon untuk disaring.
“Dalam senarai BN, mereka (BN) sendiri ada masalah, jadi mereka (calon) perlu melalui proses saringan.
“Sudah tentu kita ada sistem saringan kita sendiri, (dan) sekiranya perlu, sudah tentu kami akan hantar kepada SPRM,” katanya kepada pemberita pada sidang media Pakatan di Petaling Jaya hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sebelum ini pakatan pembangkang telah membuat aduan kepada SPRM namun tiada tindakan diambil.
“Kamu kena ingat SPRM, daripada apa yang berlaku sebelum ini, apabila kita buat aduan (tiada tindakan diambil) tapi aduan terhadap pembangkang sentiasa diambil tindakan segera.
“Jadi kita kena berhati-hati, sekiranya ini (saringan SPRM) hanyalah taktik politik,” kata Dr Wan Azizah.
Beliau turut mempersoalkan atas dasar apa jika ada, untuk SPRM jalankan proses saringan.
“Namun buat masa ini, saya hanya katakan, siapa SPRM?,” katanya.
SPRM mempelawa mana-mana parti politik untuk menghantar senarai nama calon pilihan raya umum ke 14 untuk disaring walaupun tiada undang-undang untuk parti berbuat demikian.
Dzulkifli berkata, saringan dibuat bagi memastikan semua calon “bersih” dan tidak terlibat dengan salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau juga memberi jaminan proses saringan adalah sulit dan sebarang tindakan selepas menerima dapatan daripada suruhanjaya itu, terpulang kepada parti. – 27 September, 2017.
Komen