PERWAKILAN PAS Perlis tegas menentang pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu kerana beliau memfitnah PAS negeri itu kononnya menganjurkan pemberontakan terhadap Raja Perlis, dakwa Setiausaha Pemuda PAS Perlis, Mohamad Azreen Jumri.
Berucap membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS, Azreen berkata pihaknya terkilan dengan pimpinan Pemuda PAS yang memberikan ruang kepada Zamri berucap dalam muktamar parti.
“Kami di Perlis banyak kami dilontarkan fitnah (oleh Zamri Vinoth) mengatakan PAS Perlis dalang kepada isu pemecatan imam-imam.
“Kami difitnah (oleh) beliau (yang mendakwa PAS) dalang anjurkan pemberontak kepada Raja Perlis,” katanya, ketika Muktamar Pemuda PAS ke-60 di Gambang, Pahang, hari ini.
“Ini yang menjadikan kami terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Zamri Vinoth.
“Banyak komen yang diberikan negatif kepada PAS, dia tak sebut PAS Perlis dia sebut PAS, jadi saya anggap dia kritik semua,” tambahnya.
Azreen juga menggesa kepimpinan Pemuda PAS agar mengkaji sedalam-dalamnya sebelum menjemput pihak luar berucap pada persidangan parti.
“Kami terkejut kelmarin bila Zamri Vinoth diberi peluang untuk bercakap. Kami anggap ini satu perkara yang tak sepatutnya berlaku. Pimpinan kena betul-betul kaji siapa yang diberikan peluang berucap.
“Jadi PAS Perlis mencadangkan pimpinan mengkaji semula jemputan untuk siapa yang berucap supaya tidak timbul masalah. Mungkin bagi pimpinan tak ada masalah tapi menjadi masalah khususnya bagi kami di Perlis,” katanya lagi.
Muktamar Pemuda PAS malam tadi tercetus sedikit ketegangan apabila Pengarah Jabatan Amal Perlis Amirul Jufri Mat Saman mempersoalkan tindakan menjemput Zamri untuk berucap di pentas muktamarnya.
Amirul berkata, penganjur muktamar harus memberikan penjelasan kerana tindakan berkenaan adalah tidak berpatutan kerana pihak Jabatan Amal terguris hati dengan kenyataan Zamri sebelum ini.
Sewaktu sesi muktamar sedang membentangkan penyata kewangan semalam, Zamri diberikan ruang khas untuk memberi ucapan selama kira-kira 10 minit. – 20 Jun, 2019.
Komen