Zamri Vinoth sedia lepas kerakyatan jika Zakir Naik diekstradisi


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu hari ini bersumpah untuk melepaskan kerakyatan Malaysia sekiranya Putrajaya mengektradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik ke India. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Jun, 2019.

MUHAMMAD Zamri Vinoth Kalimuthu hari ini bersumpah untuk melepaskan kerakyatan Malaysia sekiranya Putrajaya mengektradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik ke India.

Zamri yang merupakan pembantu kepada Zakir berkata, beliau melihat mana-mana ekstradisi pendakwah sebagai menjual agama.

“Saya ingin nyatakan di sini sekiranya kerajaan nak ekstradisi Zakir Naik saya tidak teragak-agak untuk serahkan IC (kad pengenalan).

“Saya tidak rela hidup di Malaysia jika agama kita digadaikan,” katanya, ketika berucap di Muktamar Pemuda PAS di Gambang, Pahang hari ini.

katanya ketika berucap pada Muktamar Pemuda PAS di Gambang, Pahang.

Zamri ditangkap pada April dan ditahan empat hari untuk siasatan atas aduan kerana membuat kenyataan menghina agama Hindu.

India mahu Zakir diekstradisi untuk menjawab segala pertuduhan yang berkaitan dengan keganasan dan pengubahan wang.

Zakir menolak semua tuduhan terhadapnya dan menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan menyokongnya.

Minggu lepas, Kementerian Hal Ehwal Luar India memasukkan permintaan ekstradisi rasmi ke Malaysia untuk penceramah kontroversi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada Zakir akan dilayan dengan adil oleh pihak berkuasa India jika dia dihantar pulang.

Dalam ucapannya di muktamar, Zamri berkata orang Islam yang dilihat lemah harus mencontohi saudara Cina yang walaupun mereka mempunyai perbezaan politik namun masih boleh bersatu.

“Kita perlu contohi bangsa Cina dalam kesatuan, mereka ada DAP dan MCA tapi tidak timbul isu berkaitan bahasa dan bangsa, mereka akan bersatu walaupun politik berbeza.

“Saya amat sedih melihat di Parlimen, apabila Islam dibuli ada ahli Parlimen Islam tidak boleh buka mulut sekalipun, amat menyedihkan.

“Marilah kita sama-sama bersatu atas dasar satu umat, jika ada mana mana muslim dizalimi tidak kira politik, aliran atau mazhab mana, kita kena bersatu tunjukkan solidariti kita,” katanya. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen