Lembaga disiplin PKR beri masa 14 hari pada Haziq


SM Amin

Lembaga disiplin PKR memberi tempoh 14 hari kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz (berbaju biru) untuk menjelaskan tindakan beliau mencemarkan imej dan pimpinan parti melalui kenyataannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2019.

LEMBAGA disiplin PKR memberi tempoh 14 hari kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk menjelaskan tindakan beliau mencemarkan imej dan pimpinan parti melalui kenyataannya.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim dalam sidang media selepas membentangkan laporan mesyuarat tersebut kepada Biro Politik PKR petang ini.

“Surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Haziq kerana telah mencemar nama parti dengan membuat kenyataan umum yang menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi dan keperibadian pimpinan parti,” katanya.

Ahmad berkata, langkah tersebut merupakan salah satu daripada empat perkara yang telah dirumuskan oleh lembaga disiplin PKR yang bermesyuarat pada Ahad lalu.

Menurut Ahmad, pihaknya juga mengambil maklum penafian yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ke atas tuduhan seks bekenaan dan akan meneliti sebarang penjelasan.

“Kami juga menunggu siasatan serta dapatan daripada (polis) atau pihak lain yang berkuasa terlebih dahulu.

“Lembaga disiplin juga ingin memberikan amaran keras kepada semua anggota parti supaya tidak membuat kenyataan tanpa asas dan fakta kepada pimpinan parti,” katanya.

Tuduhan ke atas Azmin itu bermula dengan penularan beberapa video seks sejak hari Selasa minggu lalu.

Keesokan harinya, Haziq yang merupakan ketua Pemuda PKR Santubong mengaku sebagai salah pelaku dalam video itu dan turut mendakwa seorang lagi individu adalah Azmin.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan tersebut dan menyifatkanya sebagai satu usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Polis kini sedang menyiasat video seks tersebut dan di dalam proses mengambil keterangan daripada Haziq, Azmin dan lain-lain.

Haziq juga digantung dari jawatannya sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

Kalangan pemimpin dalam PKR terutama yang menyokong Azmin mendesak agar pemuda itu segera dilucutkan keahlian parti atas tindakannya. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen