PENGILANG simen yang masih berdegil untuk menaikkan harga bahan kawalan tersebut perlu menjelaskan alasan untuk berbuat kepada kementerian, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu berkata, 19 pengilang berkenaan sudahpun diberikan notis untuk tidak menaikkan harga tanpa kebenaran kerajaan.
“Mereka ada tujuh hari untuk kembali kepada kementerian, berikan alasan dan dokumen yang berkaitan (untuk tempoh) tiga tahun sebelum ini.
“Kita harus buat persiapan itu sebab jika mereka degil dan teruskan juga (naikkan harga), kita akan bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan 2011,” ujarnya.
Kesemua 19 pengilang berkenaan telahpun dikenakan notis di bawah Seksyen 21 akta tersebut untuk menjawab kenaikan harga berkenaan.
Katanya, tindakan pengeluar simen berkenaan melanggar prasyarat Akta Kawalan Bekalan kerana mengeluarkan pekeliling mengenai kenaikan harga tanpa memaklumkan kepada kerajaan.
“Kalau mereka hendak naikkan harga, mereka mesti maklum kepada KPDNHEP untuk tujuan kelulusan.
“Kalau mereka tidak berbuat demikian, mereka telah melakukan perlanggaran dan mereka terdedah kepada tindakan, denda dan sebagainya.
“Dalam kes ini, sebelum mengeluarkan pekeliling kepada pelanggan untuk menaikkan harga, mereka tidak maklum kepada kementerian,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengenai notis daripada pengilang berhubung kenaikan harga simen sebanyak 40 peratus.
Menurut Rehda, notis daripada pengilang bertarikh 3 Jun tersebut menyatakan kenaikan itu akan berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai.
Saifuddin dalam sidang medianya hari ini seterusnya berkata, kenaikan itu tidak akan berlaku selepas bersemuka dengan pihak terbabit.
“Semua pemain industri bersetuju untuk tidak meneruskan kenaikan harga.
“Jika mereka berhasrat untuk menaikkan harga di masa depan, mereka juga bersetuju kembali mengemukakan permohonan kepada kementerian. Itu dua keputusan,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Kenaikan harga simen tersebut akan meningkatkan semula kos membina kediaman dan menjejaskan usaha kerajaan untuk menurunkan harga rumah. – 19 Jun, 2019.
Perjelas sebab jika mahu naik harga simen, kata Saifuddin
Komen