Polis selesai siasatan kes gaduh di pejabat Anwar


Kalidevi Mogan Kumarappa

Siasatan kes pergaduhan dua lelaki di pejabat Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 16 Mei lalu sudahpun diselesaikan dan dikemukakan untuk pendakwaan, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata kertas siasatan itu sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

“Ya kita sudah ambil keterangan semua pihak terlibat dan lengkapkan siasatan. Kita akan hantar kertas siasatan kepada DPP nanti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Fadzil berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Ia susulan aduan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mendakwa setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memukulnya di premis itu dalam kejadian tersebut.

Lelaki itu juga menyerahkan laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta berkenaan kecederaan yang didakwa ekoran insiden itu.

Menurut aduan tersebut, kedua-dua individu berkenaan pada awalnya bertengkar sebelum keadaan bertambah teruk.

Dakwaan kecederaan dialami lelaki berkenana bagaimanapun dinafikan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah yang mendakwa lelaki itu mengalami kecederaan lampau.

Dakwanya, lelaki itu juga terlibat menyalahgunakan dadah dan cuba masuk ke premis tanpa izin.

Menurut Tunku Nashrul, lelaki yang bertugas sebagai penyelidik sukarela itu telahpun dipecat.

Farhash merupakan salah satu individu yang menjadi tumpuan ekoran penyebaran satu kes video seks didakwa menampilkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Seorang pemimpin Pemuda PKR Sarawak, Haziq Abdul Aziz pada minggu lalu tampil dengan pengakuan mendakwa beliau merupakan individu dalam rakaman tersebut.

Beliau juga mendakwa Azmin merupakan pasangannya dalam rakaman tersebut, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh menteri hal ehwal ekonomi tersebut.

Amin berkata, tuduhan itu merupakan usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mendakwa pemimpin PKR tertentu menjadi dalang di sebalik tuduhan seks tersebut. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen