Iran tingkat pertahanan udara di sempadan


Iran menghantar lebih banyak sistem peluru berpandu pertahanan udara ke kawasan barat sempadan sebagai persiapan menghadapi sebarang ancaman. – Gambar AFP, 27 September, 2017.

TENTERA Iran menghantar lebih banyak sistem peluru berpandu pertahanan udara ke kawasan barat sempadan sebagai persiapan menghadapi sebarang ancaman, menurut ibu pejabat tentera udara pada Selasa.

Leftenan Komander Pangkalan Tentera Udara Khatam al-Anbia, Alireza Elhami berkata, langkah itu sebagai persediaan terhadap sebarang pencerobohan di kawasan barat, lapor agensi berita China Xinhua.

Tindakan itu, lantaran langkah Wilayah Kurdistan Iraq mengadakan pungutan suara kemerdekaaan pada Isnin.

Iran sebelum ini menyatakan perasaan tidak puas hati dengan pungutan suara berkenaan sambil menyuarakan sokongannya terhadap keutuhan wilayah Iraq.

Pada Ahad, tentera Iran dan Islamic Revolution Guards Corps (IRGC) turut memulakan latihan ketenteraan di sepanjang kawasan barat sempadan.

Pengundi di Wilayah Kurdistan dan di kawasan yang menjadi pertikaian telah mengundi dalam pungutan suara untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Iraq.

Keputusan awal menunjukkan sekurang-kurangnya 93% bersetuju.

Pungutan suara diteruskan meskipun menerima tekanan masyarakat antarabangsa kerana bimbang tindakan itu boleh mencetuskan konflik baharu dengan Baghdad dan negara-negara jiran seperti Iran serta Turki. – Bernama, 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen