Tiada jalan pintas untuk syarikat Bumiputera dalam ECRL, kata sumber


Lee Chi Leong

Kontraktor utama projek, CCCC menerima 1,321 permohonan daripada syarikat yang berdaftar dengan CIDB ketika proses tapisan pra kelayakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2019.

TIDAK ada jalan pintas untuk syarikat kejuruteraan dan pembinaan Bumiputera yang mahu menjadi sub kontraktor dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata sumber rapat dengan pemilik projek itu.

Syarikat Bumiputera berkenaan perlu membuktikan kecekapan dan daya saing mereka untuk berkongsi keuntungan projek mega itu.

Pemilik ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bdn (MRL) baru-baru dilaporkan berkata hampir 1,000 syarikat Bumiputera sudah memohon menjadi subkontraktor.

MRL berkata kontraktor utama projek, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menerima 1,321 permohonan daripada syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ketika proses tapisan pra kelayakan.

Daripada jumlah tersebut, 994 adalah syarikat Bumiputera atau 72.25% daripada jumlah keseluruhan permohonan menjadi subkontraktor.

“Syarikat Bumiputera perlu berdaya saing untuk mampu bertahan dalam industri pembinaan.

“Mereka perlu ada kumpulan pekerja mahir dan berbakat yang mampu menggerakkan banyak lagi projek serupa,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, syarikat juga perlu mempunyai rantaian sumber bekalan yang kukuh, sokongan pinjaman dan dana mencukupi.

Sumber berkata kontraktor utama mencari subkontraktor yang kemahirannya setanding dengan mereka.

Subkontraktor itu juga tidak lagi berpeluang untuk serahkan projek tersebut kepada syarikat lain untuk mendapatkan untung mudah tanpa melakukan sebarang kerja, katanya.

“Pendek kata, kontraktor utama mencari subkontraktor tulen yang boleh buat kerja.”

Katanya, syarikat Bumiputera berpeluang menang tender subkontraktor sekiranya mereka boleh membuktikan daya saing dalam aspek komersial dan teknikal.

Aspek komersial syarikat melibatkan kewangan, pendedahan dan pembiayaan manakala aspek teknikal adalah pengalaman, tenaga kerja, mesin jentera dan rantaian pembekalan, jelas sumber lagi.

“Jika syarikat Bumiputera berdaftar ditadbir pengurusan bagus, mereka ada daya saing untuk dapat kerja menerusi tender terbuka.

“Sama ada mereka suka atau tidak, tiada jalan pintas dalam projek ECRL,” kata sumber.

Dalam perjanjian semula projek landasan kereta api bernilai RM44 bilion itu, Putrajaya berjaya menaikkan penglibatan kontraktor tempatan untuk kerja-kerja kejuruteraan awam daripada 30% kepada 40%.

Ini bagi memastikan lebih banyak peluang untuk syarikat tempatan terutama untuk syarikat Bumiputera.

Proses tapisan pra kelayakan diadakan Mei lalu untuk mengenal pasti syarikat subkontraktor yang berpotensi mengisi kuota 40% itu.

MRL dan CCCC akan mengumumkan senarai pendek syarikat layak pada hujung tahun ini.

Projek ECRL yang disemak semula itu akan menghubungkan negeri Pantai Timur – dari Kelantan, Terengganu, Pahang – ke Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya. – 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen