KERAJAAN sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan ekonomi negara kembali ke landasan yang betul kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin.
Radzi berkata walaupun berdepan dengan ekonomi global yang mencabar, kerajaan tetap akan memastikan ekonomi negara terus berkembang.
“Cabaran bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia tetapi kita juga berhadapan dengan cabaran global, perang perdagangan tetapi kita komited untuk memastikan ekonomi terus berkembang supaya dapat dikongsi dengan rakyat.
“Sebab itu saya kata kerajaan sedang mengambil langkah yang perlu untuk mengatasi isu berbangkit.
“Sebagai contoh Majlis Tindakan Ekonomi menggariskan cadangan dan pelan mengembangkan ekonomi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau mengulas saranan ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram yang meminta semua pihak memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang memberikan kesan kepada ekonomi negara.
Jomo berkata ekonomi Malaysia akan jadi “sangat sukar” kerana suasana di luar negara yang sangat buruk dan merosot hampir setiap hari.
Mengulas lanjut, Radzi berkata rakyat tidak perlu risau kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedang bekerja keras untuk memperbetulkan keadaan.
“Kita sudah mula melihat hasilnya dan saya percaya rakyat boleh rasa manfaat atas apa yang kita sudah lakukan.
“Hal ini dapat dilihat berdasarkan pelaburan langsung asing apabila pelabur melihat sendiri kami sedang berusaha membetulkan segala perkara termasuk sistem, urus tadbir dan struktur,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda 2019. – 18 Jun, 2019.
Komen