Seminggu selepas gempa bumi di Mexico, ribuan masih hilang tempat tinggal 


Pasukan bomba membersihkan runtuhan bangunan selepas kejadian gempa bumi yang melanda Mexico Selasa lalu. – Gambar AFP, 27 September, 2017.

SEMINGGU selepas Mexico dilanda gempa bumi yang meragut 300 nyawa, beribu-ribu rakyatnya yang terjejas masih belum dapat kembali ke rumah masing-masing yang rosak teruk.

Jalan-jalan raya di Mexico City kini mulai sesak dengan kenderaan selepas seminggu sunyi sepi akibat kejadian gempa bumi berukuran 7.1 magnitud Selasa lalu. Rakyatnya mula kembali ke sekolah dan pejabat.

Namun, masih ramai yang tidak tahu ke mana hala tuju selepas kehilangan segala-galanya.

“Tidak sangka semua ini akan berlaku. Saya kehilangan punca dari hari pertama lagi. Apa yang mampu kami buat ialah mendapatkan pakaian yang didermakan, kerana kami hanya tinggal sehelai sepinggang,” kata Gerardo Alvrez, seorang wartawan berasal dari Venezuela.

Sejak gempa itu, dia dan isteri menumpang di rumah rakan-rakan selepas bangunan pangsapuri mereka di ambang runtuh.

Mereka sedang mencari rumah sewa tetapi tidak mampu keraba harga yang dikenakan bagi rumah-rumah yang tidak terjejas dari kejadian gempa itu melambung tinggi.

Datuk Bandar Mexico Miguel Angel Mancera mengumumkan setiap mangsa gempa yang hilang tempat tinggal akan mendapat bantuan sewa rumah kira-kira $170 sebulan.

Sementara itu, para arkitek dan jurutera kini sedang menentukan manakah di antara 9,000 kediaman yang rosak boleh dibaiki dan dirobohkan.

Dalam kejadian gempa itu, sebanyak 39 bangunan runtuh. 700 lagi perlu dibaiki, manakala 300 kediaman rosak teruk. – AFP, 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen