Malaysia harap Asean kongsi maklumat pesalah pedofilia


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan berharap negara Asean berkongsi maklumat pesalah pedofilia untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seks dan penyalahgunaan Internet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2019.

Kerajaan berharap negara Asean berkongsi maklumat pesalah pedofilia untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seks dan penyalahgunaan Internet, kat Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata maklumat itu boleh membantu pihak berkuasa mengesan dan memantau pergerakan individu berpotensi melakukan jenayah tersebut.

Jelasnya, pihak berkuasa Malaysia akan dapat mengesan sekiranya penjenayah tersebut mensasarkan mangsa di negara ini.

“Kadang-kadang ia mudah terdedah. Mereka mencari tempat di mana perkara-perkara seperti itu dapat dilakukan dengan mudah.

“Perkongsian pintar ini dapat membantu menghalang pesalah seks bersiri seperti Richard Huckle dari memasuki negara kami,” katanya dalam ucapannya di Persidangan Cyberdefense 2019, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata perkongsian maklumat juga boleh membantu Malaysia mengekang kemasukan pesalah seks dan penjenayah siber lain. 

Menurutnya, kerajaan juga meneliti semula Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) dan membangunkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang lebih kontemporari. 

“MCSS akan dilancarkan bulan depan,” katanya. – 18 Jun, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen