SPRM tak tekan saya untuk babitkan Najib, kata Ismee


Bede Hong Timothy Achariam

BEKAS Pengerusi SRC International Ismee Ismail memberitahu mahkamah tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah ditekan oleh SPRM untuk membabitkan Najib Razak atas tuduhan jenayah yang dihadapi bekas perdana menteri itu. 

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, Ismee berkata beliau memberikan keterangannya kepada agensi anti-rasuah atas kehendaknya sendiri.

Ismee menafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaksanya walaupun disiasat kerana beberapa kes berkaitan rasuah.

Beliau juga memberitahu mahkamah namanya telah disenarai hitam, pasportnya dirampas dan akaun banknya dibeku oleh SPRM.

Ismee disiasat atas tiga kes melibatkan Tabung Haji kerana melakukan pecah amanah kerana membelanjakan dana Yayasan Tabung Haji untuk aktiviti politik, kerana salah menuduh lembaga Tabung Haji mengenai transaksi penjualan ladang kelapa sawit di Indonesia dan mendatangkan tanah di Indonesia.

Ismee berkata, beliau juga sedang disiasat untuk skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selain daripada SRC International.

Bekas pengerusi SRC International itu juga didakwa oleh FGV Berhad dalam saman sivil kerana beliau adalah bekas pengarah.

Shafee: Dalam pengetahuan saya mereka telah meminta anda untuk membabitkan pemegang saham utama iaitu Najib, ketika mereka mengambil keterangan anda.

Ismee: Tidak, saya tidak fikir begitu.

Shafee: Adakah SPRM memberitahu bahawa anda telah melakukan beberapa kesalahan secara langsung?

Ismee: Saya tidak fikir begitu. Sepanjang siasatan, saya mempersoalkan diri saya sendiri.

Ismee yang mempengerusikan lembaga SRC International dari 2011 hingga 2014 sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau telah disoal oleh SPRM pada pertengahan 2015 dan tahun lepas selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Tuduhan Najib dalam perbicaraan ini berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International yang dibuat pada 20011 dan 2012 yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu diwakili beberapa peguam diketuai Shafee. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 18 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen