DR Wan Azizah Wan Ismail menegaskan akan kekal sebagai timbalan perdana menteri selagi suaminya Anwar Ibrahim belum mengambil alih jawatan perdana menteri.
Katanya, beliau tidak akan meletakkan jawatannya lebih awal seperti yang digesa oleh Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Shaid Rosli.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, isu ini tidak patut timbul kerana peralihan kuasa itu itu sudahpun dipersetujui ketika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
“Saya ingat tidak berbangkit sebab kita dah janji sebelum ini bahawa perdana menteri adalah Dr Mahathir (Mohamad), dan saya adalah (timbalannya).
“Masa saudara Anwar ambil alih sebagai presiden parti pun tidak ada perbedaan, jadi saya dah katakan bila Anwar jadi PM, saya akan letak jawatan, jadi tiada isu,” katanya.
Mohd Shaid semalam menggesa Wan Azizah meletak jawatan terlebih dahulu untuk membolehkan peralihan kuasa di antara Dr Mahathir dan Anwar berlaku dalam tempoh setahun.
Tuntutan itu timbul ketika parti PKR pimpinan Anwar kini teruji dengan tuduhan skandal seks ke atas timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.
Anwar dilucutkan dari jawatan timbalan perdana menteri pada 20 tahun lalu susulan tuduhan seks dan salah guna kuasa.
Beliau juga dipenjarakan sebanyak dua kali atas tuduhan liwat dan kembali menjadi ahli Parlimen tahun lalu selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong. – 18 Jun, 2019
Komen