PUSAT pakar keselamatan Internet, CyberSecurity Malaysia (CSM) mengesahkan sudah menerima rakaman video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri untuk analisis teknikal.
Ketua Pegawai Eksekutif CSM Amiruddin Abdul Wahab agensi itu akan menentusahkan ketulenan rakaman tersebut dengan menggunakan kaedah forensik.
“Analisis untuk mengenalpasti sama ada video itu asli adalah sebahagian daripada proses yang kami jalankan.
“Kami sebagai agensi yang mempunyai kepakaran dalam forensik digital akan membuat siasatan sekiranya pihak berkuasa meminta bantuan. Saya boleh sahkan sudah terima video.
“Penilaian teknikal boleh dibuat berdasarkan forensik komputer, multimedia, audio dan (peranti) mudah alih,” katanya ketika ditemui pemberita di persidangan CyberDefense 2019 hari ini.
Ditanya mengenai jumlah rakaman video yang diterima, Amiruddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Tiga rakaman aksi seks tersebar pada awal pagi Selasa minggu lalu dan keesokan harinya, seorang pemimpin Pemuda PKR Sarawak tampil mengaku sebagai individu dalam rakaman itu.
Individu berkenaan, Haziq Abdullah Abdul Aziz juga mendakwa beliau melakukan aksi seks tersebut dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, yang menafikan tuduhan berkenaan.
Azmin berkata tuduhan itu sengaja direka untuk memusnahkan kerjaya politiknya. Susulan penafian itu, satu video seks disebarkan, juga melalui aplikasi WhatsApp.
Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, agensi itu mampu menjalankan ujian tersebut dengan kepakarannya di Makmal Forensik Digital CyberSecurity Malaysia.
Makmal itu adalah fasiliti pertama di rantau Asia Pasifik yang ditauliah oleh pertubuhan antarabangsa The American Society of Crime Laboratory Directors, katanya.
“Adakah video itu asli atau tidak? Kita boleh sahkan kerana ada kepakaran dan reputasi kita sebagai standard makmal digital antarabangsa.
CSM merupakan satu agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. – 18 Jun, 2019
Komen