Skandal rakaman seks dan sistem pewarisan


PADA musim panas 1553, Sulaiman Yang Agung, sultan ke-10 Empayar Uthmaniah mengarahkan tiga khadamnya yang bisu dan pekak untuk membunuh pewaris takhta iaitu putera kandungnya sendiri, Mustafa.  Sulaiman khuatir puteranya akan melancarkan pemberontakan dan menggulingkannya.

Justeru, Mustafa harus dibunuh terlebih dahulu sebagai tindakan pencegahan. Dalam undang-undang Empayar Uthmaniah ketika itu, membunuh saudara sedarah bukanlah suatu kesalahan.

Bapa membunuh anak, anak membunuh bapa, adik membunuh abang, abang membunuh adik, sepupu, bapa saudara, anak saudara dan saudara lelaki sedarah yang lainnya adalah tindakan yang absah.

Lebih kurang 150 tahun sebelum kejadian itu, telah terjadi perang saudara antara empat putera Sultan Bayezid I yang berebut untuk mewarisi takhta kekuasaan setelah beliau meninggal.

Perang saudara yang memakan korban puluhan ribu orang dan melemahkan kuasa empayar Uthmaniah itu hanya berakhir selepas kira-kira 10 tahun.

Pemenangnya putera bongsu Bayezid I iaitu Mehmed I yang kemudiannya ditabalkan menjadi sultan.

Cucu beliau, Sultan Mehmed II yang dikenali sebagai Mehmed Yang Menakluk pada zaman pemerintahannya telah mengeluarkan suatu dekri undang-undang yang berbunyi: “Sesiapa sahaja dari puteraku yang mewarisi takhta, dibenarkan untuk dia membunuh abang dan adik lelakinya, demi kestabilan dan kepentingan awam”.

Sejarawan percaya 60 orang putera raja telah dibunuh sepanjang 600 tahun tempoh empayar Uthmaniah.

16 daripadanya kerana memberontak melawan sultan. Tujuh orang kerana percubaan memberontak dan selebihnya dibunuh ‘demi kestabilan dan kepentingan awam’.

Kali terakhir pembunuhan saudara sedarah berlaku ialah apabila Sultan Mehmed III mewarisi takhta empayar Uthmaniah. Mehmed III dikatakan membunuh 19 orang saudara kandungnya sendiri setelah beliau ditabalkan menjadi sultan.

Pembunuhan saudara sedarah untuk memastikan pemerintahan empayar Uthmaniah kuat, kukuh dan tidak diganggu-gugat “demi kestabilan dan kepentingan awam” berakhir apabila Sultan Ahmed I yang mewarisi takhta pada tahun 1603 bertindak untuk tidak membunuh saudara-saudara sedarahnya.

Menjadi putera raja empayar Uthmaniah adalah sesuatu yang malang. Kebanyakan mereka lahir dengan takdir untuk dibunuh. Malahan cara pembunuhan mereka juga tak terbayangkan.

Dibunuh tanpa menumpahkan darah menggunakan sapu tangan sutera yang dicekup ke mulut atau dijerut ke leher sehingga mangsa tidak lagi bisa bernafas. Suatu tradisi Turkic-Mongol yang mereka warisi di mana darah keturunan raja tidak boleh ditumpahkan.

Tapi yang lebih menarik ialah setelah itu perlahan-lahan empayar Uthmaniah sedikit demi sedikit mengalami kemerosotan.

Sebahagiannya kerana terjebak dalam perang antara pelbagai kumpulan puera-putera raja yang berebut untuk mewarisi takhta.

Apa kaitan sejarah perebutan kuasa dan pembunuhan saudara sedarah pada zaman empayar Uthmaniah dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang? Sistem pewarisan.

Skandal rakaman seks dua lelaki yang tersebar adalah manifestasi kepada sistem pewarisan kepimpinan Melayu dalam politik Malaysia yang telah pecah dan terbarai.

Kalau pada zaman Uthmaniah, pembunuhan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan sutera untuk menghabisi nyawa pesaing, pada zaman ‘Malaysia Baharu’  pembunuhan wibawa, nama baik dan kredibiliti menjadi senjata untuk menghabisi karier politik lawan.

Senjata yang paling berkesan untuk mencapai tujuan tersebut buat masyarakat Melayu khususnya adalah melalui skandal seks.

Walaupun caranya berbeza antara zaman Uthmaniah dan zaman ‘Malaysia Baharu’ tapi tujuan kedua-duanya tetap sama iaitu untuk mewarisi kuasa tertinggi negara.

Sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, sistem pewarisan kepimpinan negara relatifnya licin, jelas dan teratur.

Jawatan perdana menteri (PM) akan dipegang oleh presiden parti yang memenangi kerusi Parlimen terbanyak. Selama 62 tahun Umno-lah parti yang menang kerusi Parlimen terbanyak.

Justeru, mengikut tradisi dan adat, presiden Umno akan memegang jawatan PM, manakala jawatan timbalan perdana menteri (TPM) akan diberikan kepada timbalan presiden Umno. Ini sistem pewarisan yang diamalkan selama lebih kurang 62 tahun tanpa digugat.

Tiba-tiba dengan tidak disangka semua ini berubah pada 9 Mei 2018 apabila Umno-BN tumbang.

Sistem pewarisan yang selama ini relatifnya memberikan kestabilan kepada politik Malaysia kini pecah.

Malah jawatan PM dipegang oleh pengerusi sebuah parti yang hanya menang 13 kerusi Parlimen sahaja.

Manakala presiden parti yang menang kerusi terbanyak (47 kerusi Parlimen) hanya diberikan jawatan TPM.

Justeru, tiada lagi jawatan PM dan TPM datang daripada parti yang sama. Bukan sekadar itu, jawatan TPM bukan lagi disandang oleh sebuah parti Melayu tetapi parti pelbagai kaum.

Menambah kerumitan kepada sistem pewarisan yang sudah pecah itu, jawatan TPM yang dipegang oleh parti pelbagai kaum yang memiliki kerusi terbanyak itu hanyalah untuk sementara sahaja tanpa ada sebarang kejelasan siapa penggantinya.

Apakah pengganti TPM akan diberikan kepada parti yang sama atau parti lain atau siapakah yang akan menggantikan beliau nanti – tidak ada sebarang kejelasan.

Manakala pewaris yang dijanjikan jawatan PM pula tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet. Malah bilakah beliau akan diberi jawatan PM juga masih menjadi tanda tanya.

PM juga tidak memberikan sebarang tarikh yang jelas bilakah peralihan kuasa itu akan dilaksanakan.

Apakah PM benar-benar bersedia untuk melepaskan jawatannya kepada pewaris seperti yang dijanjikan atau PM mempunyai calon lain yang lebih beliau percayai?

Dalam keadaan sistem pewarisan yang kabur, tak pasti dan tiada kejelasan itu, tidaklah mustahil jika timbul khabar angin yang disebarkan tentang wujudnya pesaing-pesaing lain untuk jawatan PM. Ini tentunya menimbulkan rasa curiga-mencurigai, syak wasangka dan saling tidak percaya antara satu sama lain.

Dalam konteks inilah skandal video semburit itu patut dilihat.

Ia lahir dari kancah sistem pewarisan kepimpinan Melayu yang pecah dan terbarai, kesan daripada keputusan PRU14 yang lepas.

Keadaan ini diperburukkan lagi apabila kurangnya inisiatif yang serius oleh kepimpinan PH untuk memastikan wujudnya kejelasan dalam soal pewarisan tersebut.

Tanpa adanya kejelasan dalam sistem pewarisan, politiking dalaman parti mahu pun luaran parti akan semakin licik, gencar dan kotor.  

Tidak mustahil kalau sekiranya Pakatan Harapan pecah dan akan berlaku penyusunan semula politik Melayu yang akan menampilkan pewaris baru.

Berbalik kepada kisah Mustafa, putera Sultan Sulaiman I yang dibunuh oleh bapanya sendiri itu, beliau punya adik tiri yang bernama Selim.

Mengikut adat dan tradisi empayar Uthmaniah, Mustafa sebagai anak yang lebih tua berhak untuk mewarisi takhta kesultanan daripada bapanya. Namun Sulaiman I telah membunuh puteranya itu.

Tanpa saingan daripada puteranya, Sulaiman I terus kekal berkuasa selama 46 tahun – menjadi sultan yang paling lama memerintah empayar Uthmaniah.

Sesudah kematian Sulaiman I,  dan pewaris lama Mustafa pula dibunuh, pewaris baru Selim tiada saingan lagi.

Beliau ditabalkan menjadi Sultan Uthmaniah yang ke-11 dengan memakai gelaran Selim II. Namun pemerintahannya tidak lama. Hanya kekal lapan tahun sahaja. – 18 Jun, 2019.

* Shaiful Naim Ahmad, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen