Betapa mahal harga air bersih di bumi PAS


Ragananthini Vethasalam

Penduduk Kampung Sungai Tias di Kuala Krai, Kelantan berkata kerajaan negeri pimpinan PAS hanya menyediakan paip untuk menyalurkan air dari perigi ke rumah penduduk tetapi airnya dari sumber yang tidak bersih dan tidak bertapis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Jun, 2019.

SEJAK berdekad lamanya, penduduk di Kampung Sungai Tias di Kuala Krai, Kelantan bergantung kepada bekalan air dari sebuah perigi cetek yang dicemari bangkai binatang dan sampah-sarap.

Perigi yang menakung air hujan dan air bawah tanah itu menjadi sumber utama bagi kampung yang terletak kira-kira 40km dari pekan Kuala Krai.

Bila tiba musim kemarau, air dalam perigi itu kering dan penduduk terpaksa bergantung kepada air sungai.

Penduduk kampung, Rohaida Yusuf, 44 dan Norazizah Ismail, 47, yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak mendapat bekalan air sempurna selama berbulan-bulan.

“Air tak ada sejak Tahun Baru Cina,” kata mereka.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nazri Abdullah berkata, perkara itu amat menyulitkan mereka.

“Bila kemarau tiba, kami terpaksa ambil air dari sungai sebab air dari bukit kering,”.

Nazri yang bertani dan membela ternakan berkata musim kemarau antara Februari dan April menyukarkan penduduk kampung mendapatkan bekalan minuman.

“Ibu tunggal terpaksa ambil dari sungai. Susah anak nak ke sekolah bila air tak ada,” kata Nazri, 40.

Musim kemarau antara Februari dan April menyukarkan penduduk kampung mendapatkan bekalan minuman, kata seorang penduduk di Kampung Sungai Tias, Mohd Nazri Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Jun, 2019.

Tidak banyak yang dilakukan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak berpuluh tahun lalu.

Menurut Nazri, kerajaan negeri pimpinan PAS hanya menyediakan paip untuk menyalurkan air dari perigi ke rumah penduduk.

“Mereka sediakan paip tapi airnya dari sumber tak bersih dan tak bertapis.

“Dalam perigi ada banyak benda… Babi hutan dan badak pun berendam dalam perigi. Kadang-kadang airnya keruh, kadang-kadang ada sampah. Kami kena selalu cuci kepala paip.”

Sementara itu, Nazir Esa yang membuka gerai di kampung itu mengeluh kerana penduduk kampung terpaksa menggunakan air sungai yang tidak bersih untuk membersihkan rumah dan tandas.

“Bila musim kemarau, kami terpaksa beli air. Terpaksa bergantung pada air mineral untuk minum dan masak.”

Namun, beliau mengelak apabila ditanya sama ada kerajaan negeri membantu penduduk menyelesaikan masalah tersebut.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar pada September lalu berkata selain Sabah dan Sarawak, bekalan air bersih di Kelantan berada pada tahap kritikal.

Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan perubatan dan kemanusiaan, Mercy Malaysia melalui program selama dua tahun yang dibiayai oleh Maybank Islamic Berhad telah membina sebuah telaga tiub untuk penduduk kampung di Sungai Tias.

Ketua Komunikasi dan Strategik Mercy Malaysia, Chan Li Jin memberitahu The Malaysian Insight penduduk di kampung itu dan di kawasan sekitar sudah lama mengharapkan bekalan air bersih.

“Kawasan ini agak terpencil dan Kuala Krai sebenarnya adalah daerah yang besar. Kerajaan negeri kekurangan sumber kewangan untuk menyediakan bekalan air bersih untuk semua penduduk di sini.

“Apa yang Mercy buat ialah membantu kerajaan apabila perlu. Kami akan beri bantuan apabila kerajaan tidak mampu.”

Telaga tiub ini dapat menampung bekalan air bagi 10 keluarga.

Semalam, Mercy Malaysia mengadakan bengkel pendidikan kesihatan untuk penduduk di kampung itu.

Walaupun tidak mendapat kemudahan yang mencukupi, penduduk kelihatan berpuas hati dengan bekalan air bersih yang disediakan oleh Mercy Malaysia. – 18 Jun, 2019.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen