WANITA di Arab Saudi kini dibenarkan memandu di jalan raya selepas kerajaannya memansuhkan sekatan yang selama ini menjadi antara alasan dunia mendesak pembaharuan menyeluruh di negara Islam konservatif itu.
Wanita di Arab Saudi kini tidak lagi disyaratkan mendapat kelulusan waris untuk memiliki lesen memandu. Mereka juga tidak lagi perlu ditemani oleh muhrim jika memandu.
Pemansuhan sekatan itu berkuat kuasa serta merta namun pelaksanaannya akan mengambil masa sehingga pertengahan tahun depan, lapor agensi berita di Arab Saudi.
Perintah pemansuhan larangan wanita memandu itu dikeluarkan oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.
“Perintah diraja akan membabitkan pelaksanaan peraturan lalu lintas, termasuk mengeluarkan lesen memandu kepada lelaki dan wanita,” lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Raja Salman juga mengeluarkan arahan diwujudkan sebuah jawatankuasa tertinggi membabitkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial, bagi mengkaji peraturan baharu memandu itu.
Pengumuman mengejutkan itu menerima reaksi pelbagai daripada orang awam yang ditemui di ibu negara Riyadh. Perasaan teruja dan rasa tidak percaya bercampur-baur.
“Hari yang sangat indah. Saya tidak dapat menahan air mata,” tweet seorang ahli majlis syura Arab Saudi Latifah Alshaalan. “Tahniah kepada wanita di tanah air saya.”
Arab Saudi mempunyai beberapa sekatan yang ketat di dunia terhadap wanita, walaupun kerajaan bercita-cita tinggi untuk melakukan pembaharuan yang bertujuan meningkatkan pekerjaan wanita.
Di bawah sistemnya, ahli keluarga lelaki – biasanya bapa, suami atau saudara – mesti memberi kebenaran kepada wanita untuk belajar, melakukan perjalanan dan aktiviti lain.
Selepas pengumuman bersejarah pada Selasa itu, hashtags “I am my own guardian” dan “Women 2 Drive” mula mendapat perhatian di media sosial sementara ramai yang menyindir golongan konservatif yang menyukai larangan itu secara terbuka.
Seorang wanita Saudi memuat naik gambar tiga wanita menaiki kereta berhud pergi membeli belah dengan mesej: “Kami tidak lama lagi.”
Pengumuman itu menyempurnakan perayaan sambutan hari kebangsaan Arab Saudi pada hujung minggu, yang pertama seumpamanya, yang bertujuan menonjolkan usaha pembaharuan kerajaan, kata para penganalisis, walaupun menerima tindak balas sebaliknya daripada golongan konservatif agama.
Lelaki dan wanita menari di jalanan mengikut alunan drum muzik elektronik, satu suasana anomali menakjubkan di negara yang terkenal dengan pengasingan jantina dan pelaksanaan Islam yang ketat.
Wanita juga dibenarkan masuk ke stadium sukan yang selama ini dibenarkan kepada lelaki sahaja untuk menonton konsert muzik, satu gerakan seiring dengan rancangan “Wawasan 2030” kerajaan bagi pembaharuan sosial dan ekonomi.
Dengan lebih daripada separuh pendudukanya berusia di bawah 25 tahun, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, anak raja dan pencetus utama Wawasan 2030, dilihat cuba memenuhi aspirasi golongan muda dengan pelbagai pilihan hiburan dan mempromosikan lebih banyak wanita dalam bidang tenaga kerja. – 27 September, 2017.
Komen