Mustafa Akyol berlepas pulang ke Amerika Syarikat


Sheridan Mahavera

Mustafa Akyol dibebaskan selepas ditahan selama lebih kurang 18 jam ketika berada di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada Ahad. – Gambar YouTube, 27 September, 2017.

PENULIS Turki, Mustafa Akyol berlepas meninggalkan Malaysia menuju ke Amerika Syarikat lewat malam tadi, beberapa jam selepas ditahan semalaman atas arahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Jurucakap Islamic Renaissance Front (IRF), yang menjemput Mustafa ke negara ini, berkata penulis itu menaiki pesawat ke Istanbul, Turki pada pukul 11.35 malam.

Mustafa difahamkan akan menyambung penerbangan ke Boston, tempat beliau berkhidmat sebagai felo pelawat di Kolej Wellesley.

“Kami menghantarnya, dan Alhamdulillah, beliau mengirim mesej memaklumkan sudah menaiki pesawat,” kata jurucakap IRF kepada The Malaysian Insight.

Mustafa dibebaskan daripada tahanan tengahari semalam selepas ditahan selama lebih kurang 18 jam ketika hendak meninggalkan Malaysia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Beliau ditahan oleh Jabatan Imigresen selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Waran itu diminta Jawi selepas Mustafa gagal hadir di pejabat agensi itu petang semalam.

Mustafa dipanggil oleh Jawi, yang ingin mengambil keterangan daripadanya kerana terlibat dalam forum yang dianjurkan IRF bertajuk “Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy?” (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?).

Beliau disiasat kerana melanggar Seksyen 11 Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan 1997, yang menjadikannya suatu kesalahan kerana mengajar Islam atau topik berkaitan dengan Islam tanpa pertauliahan daripada Jawi.

Susulan pertemuan dengan Jawi semalam, di mana kenyataannya direkodkan, beliau dihantar semula ke balai polis Jalan Travers sebelum dibebaskan pada pukul 2.30 petang.

Beliau dijemput oleh wakil IRF, yang kemudian mengatur untuknya pulang malam tadi.

Mustafa berada di negara ini pada hujung minggu bagi menghadiri beberapa majlis anjuran IRF, seperti ceramah tentang kemurtadan dalam Islam dan kerelevenan demokrasi.

Wartawan yang berpangkalan di AS itu adalah penulis isu dan politik Islam, dan tulisannya sering muncul dalam akhbar Turki Hurriyet Daily News, The New York Times dan Al-Monitor.com.

Beliau telah menerbitkan enam buku, termasuk “Islam Without Extreme: A Muslim Case for Liberty”, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, Bahasa Malaysia dan Indonesia.

Buku terbarunya berjudul “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.

Satu forum berdasarkan buku terbarunya yang dijadualkan petang semalam dibatalkan susulan tekanan daripada Jawi. – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen