Dron akan diguna kawal selatan Thailand


Empat hari lepas, empat tentera terbunuh apabila sebutir bom meletup mengenai kenderaan mereka di Pattani, Thailand. – Gambar EPA, 26 September, 2017.

THAILAND sedang mempertimbang menggunakan dron untuk rondaan di wilayah selatan berikutan kejadian letupan bom yang disasarkan terhadap pasukan ronda keselamatan baru-baru ini di wilayah berkenaan, menurut Majlis Keselamatan Nasional (NSC).

Menurut Ketua Setiausaha NSC, Jeneral Thawip Netniyom, cadangan menugaskan dron itu telah dibincangkan pada mesyuarat keselamatan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan semalam.

Prawit adalah Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri.

“Dron dapat mengurangkan beban pegawai-pegawai dan akan digunakan di kawasan yang paling memerlukan rondaan keselamatan,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat kabinet di Bangkok hari ini.

Semasa mesyuarat semalam, katanya, timbalan perdana menteri mengarahkan Tentera Darat Wilayah Empat yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di selatan Thai, agar lebih mengawasi  keselamatan pasukan perondanya, kerana ia menjadi sasaran puak militan.  

Cadangan menggunakan dron itu berikutan dua kejadian letupan bom di Pattani dan Yala yang mengorbankan beberapa orang askar dan mencederakan beberapa orang yang lain.

Dalam insidern terbaru di Pattani empat hari lepas, sebutir bom buatan sendiri yang ditanam di bawah jalan yang sedang dibina meletup dan memusnahkan kenderaan pacuan empat roda yang membawa beberapa orang askar, mengorbankan empat daripada mereka dan enam yang lain termasuk seorang awam cedera.

Keganasan di Pattani itu adalah susulan daripada letupan bom tepi jalan di Yala tiga minggu lepas yang mengorbankan dua askar dan mencederakan 27 yang lain, kebanyakan mereka dari unit pemusnah bom.

Pertikaian yang telah berlarutan beberapa tahun di wilayah-wilayah selatanThai itu telah meragut lebih 6,000 nyawa. – Bernama, 26 September, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen