Dalam masa 2 hari, 45,000 pelarian Rohingya tiba di Bangladesh


Dianggarkan 480,000 pelarian Rohingya mencari perlindungan di Bangladesh selepas keganasan tercetus di Myanmar sejak Ogos lalu. – Gambar EPA, 26 September, 2017.

SEJUMLAH 480,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan tercetus di Myanmar pada 25 Ogos lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Angka terbaru itu menambah jumlah pelarian sebanyak 45,000 orang dalam tempoh hanya dua hari.

Laporan agensi PBB dan badan kemanusiaan antarabangsa berkata perubahan itu berlaku disebabkan sejumlah 35,000 Rohingya yang tidak dikira sebelum ini berpindah masuk ke dalam kem pelarian sejak dua hari lepas.

Jumlah mereka yang melintasi sempadan juga kembali meningkat. PBB memberikan jumlah lebih 435,000 Rohingya berada di Bangladesh pada Ahad lalu.

Selepas melaporkan kejatuhan mendadak pelarian minggu lepas, laporan terbaru itu mengatakan ratusan pelarian kembali melintasi sempadan sejak beberapa hari lalu.

Kawasan baru seluas 8 km persegi bersebelahan kem sedia ada kini dipersiapkan untuk menangani pelarian yang baru tiba, tetapi tanpa kemudahan asas.

Serangan militan Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar pada 25 Ogos lalu mencetuskan serangan balas tentera dan kebanjiran pelarian masuk ke dalam Bangladesh.

Kem pelarian yang disediakan Bangladesh sudah menampung 300,000 pelarian sebelum keganasan terbaru itu tercetus dan kini berdepan kesukaran menampung jumlah pelarian baru tiba. – AFP, 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen