Isu kebajikan, tanggungjawab polis perlu seiring, kata KPN


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beliau tidak boleh mementingkan diri dengan hanya meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji anggota bawahannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Jun, 2019

ABDUL Hamid Bador mengakui beliau perlu berdepan dengan pelbagai tuntutan yang sukar dalam melaksanakan Suruhanjaya Aduan dan Salah laku Polis Bebas (IPCMC).

Ketua polis negara itu berulang kali tampil dengan tuntutan agar kerajaan menyediakan gaji serta tempat tinggal lebih baik untuk pasukan dengan kekuatan 135,000 orang anggota itu.

Pada masa sama beliau juga perlu tangani pelbagai aduan ke atas pasukannya – dari dakwaan berhubung profesionalisme, rasuah hingga tuduhan melakukan penghilangan paksa ke atas aktivis.

“(Isu) kebajikan orang saya dan cara mereka menjalankan tanggungjawab perlu seiring,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Abdul Hamid menjelaskan, beliau tidak boleh mementingkan diri dengan hanya meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji anggota bawahannya.

Oleh itu beliau perlu mengambil kira sentimen yang dibangkitkan oleh orang ramai mengenai tahap profesionalisme dalam pasukan polis, katanya.

Sebab itulah beliau akan berkunjung ke lebih banyak balai dan ibu pejabat polis untuk mendengar secara langsung aduan yang timbul.

“Dengan melawat mereka secara tidak rasmi, saya akan mendapat tahu lebih banyak kebenaran.

“Maklumat yang saya terima akan dibentangkan kepada kerajaan dan ini akan menjadi hujah yang kuat untuk meminta gaji yang lebih tinggi atau keadaan hidup yang lebih baik,” katanya.

Katanya tindakan berkenaan juga dibuat dengan mengambil kira sensitiviti orang awam.

“Ia harus bergerak selari dan disebabkan itu saya mengarahkan pegawai saya untuk memutuskan hubungan dengan kumpulan penjenayah,” katanya.

Bulan lalu, Abdul Hamid mengeluarkan amaran tegas kepada pegawai polis supaya memutuskan perhubungan dengan kumpulan penjenayah atau kongsi gelap dengan segera.

Tambahnya ia bagi menghapuskan rasuah yang menurutnya kini hampir menjadi budaya dalam pasukan keselamatan itu.

Hamid melontarkan amaran itu selepas beberapa pegawai polis ditahan kerana  merompak seorang pengurup wang di Dang Wangi pada awal Mei.

Beliau juga baru-baru ini memberi amaran kepada kesemua ketua polis daerah supaya tidak mengutip dana bagi menganjuran rumah terbuka Hari Raya.

“Rasuah hampir menjadi budaya dalam PDRM dan hasilnya sangat negatif.

“Penyalahgunaan kuasa akan membawa masalah kepada masyarakat, saya harus adil bukan hanya kepada anggota polis, tetapi juga kepada rakyat dan kerajaan,” jelasnya.

Abdul Hamid merupakan ketua polis pertama yang bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah laku Polis Bebas (IPCMC) namun jelaskan beliau tidak berbuat demikian untuk jadi juara.

“Bukan niat saya menjadi juara, saya ikhlas. Jika kita meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara, ia akan menghantar mesej positif kepada para pelabur dan pelancong asing.

“Persoalan pertama yang ditanya oleh pelabur kepada kerajaan adalah keselamatan kita. Adakah selamat untuk melabur di sini, adalah Kuala Lumpur di bawah kuasa kongsi gelap?

“Kami mempunyai tugas untuk memastikan bahawa pelabur masuk dengan menawarkan perkhidmatan profesional ke negara ini, “katanya.

Putrajaya bersetuju menubuhkan IPCMC dan polis juga diberi taklimat mengenai pelaksanaannya.

Ia pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2005 untuk memperbaiki pasukan polis, berikutan peningkatan kes kematian dalam tahanan.

Pada tahun 2006, pasukan polis yang diketuai Mohd Bakri Omar waktu itu menolak IPCMC kerana pasukan itu sudahpun mempunyai Suruhanjaya Polis untuk menangani masalah disiplin.

Penubuhan IPCMC merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14. – 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen