POLIS memberi jaminan untuk tidak membiarkan sentimen agama menghalang usaha mengesan Prasana Diksa, gadis yang dilarikan oleh bapa beragama Islam sejak lebih sembilan tahun lalu.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beliau juga akan akur kepada keputusan mahkamah berhubung hak penjagaan anak perempuan Indira Gandhi itu.
“Agama tidak akan dijadikan satu alasan untuk menghentikan siasatan. Kami memandang berat pada isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
Tambahnya, beliau juga sudah berbincang dengan Jabatan Siasatan Jenayah untuk mengesan Prasana dan memberi jaminan akan bertindak dengan cara berbeza.
“Saya tiada buat sementara dan sekarang biar saya lakukan menggunakan cara saya,” katanya yang kembali semula ke pasukan polis tahun lalu dan kemudian dilantik ke jawatan tinggi pasukan itu.
Jelasnya, polis akan akur pada arahan mahkamah dan menjalankan kes itu dengan adil.
Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan ketua polis negara menahan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah kerana menghina mahkamah.
Bagaimanapun, dua bekas ketua polis negara – Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun gagal mengesan anak tersebut serta bapanya.
Khalid memutuskan bahawa anak berkenaan diletakkan di pusat jagaan supaya kedua-dua ibu dan bapa dapat menemuinya, memandangkan kes itu dibicarakan di mahkamah syariah dan sivil.
Mohamad Fuzi yang menggantikan Khalid seterusnya mengumumkan pihak berkuasa masih gagal mengesan Riduan walau dengan bantuan orang ramai.
Polis berusaha mengesan Riduan sejak Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan waran tangkap ke atasnya pada 20 Mei 2014.
Pada tahun lalu panel Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan penukaran tiga anak Indira kepada Islam oleh Riduan terbatal dan tidak sah.
Indira mengemukakan kes di Mahkamah selepas Riduan melarikan Prasana dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam pada 2009. Prasana berusia 11 bulan pada ketika itu.
Dua lagi anak mereka, berusia 20 dan 21 tahun kini masih tinggal dengan Indira.
Ibu berkenaan juga berusaha mendapatkan bantuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dua bulan lalu untuk menjalankan siasatan untuk mencari anaknya.
Satu kumpulan masyarakat sivil Indira Gandhi Action Team (Ingat), juga menawarkan ganjaran RM10,000 bagi maklumat yang boleh membawa kepada penemuan Riduan atau Prasana. – 17 Jun, 2019.
Komen