KALANGAN pengundi Port Dickson yakin tuduhan skandal homoseks ke atas Azmin Ali melalui penularan rakaman video hanyalah satu fitnah dan tidak wajar dipercayai.
Pengundi yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak lagi mudah percaya dengan tuduhan seperti itu selepas menyaksikan isu sama digunakan berulang kali untuk menyerang pemimpin PKR.
Mereka melihat, isu berkenaan adalah cubaan memburukkan nama menteri hal ehwal ekonomi itu oleh musuh politik dari dalam PKR sendiri.
Menurut pengundi ini, mereka dapat melihat bagaimana tuduhan liwat berulang menyebabkan presiden mereka Anwar Ibrahim meringkuk di penjara sebanyak dua kali sejak 1999.
Kini, isu tersebut muncul lagi melalui video didakwa melibatkan timbalan presiden parti Azmin Ali dan seorang ketua Pemuda PKR cabang, Haziq Abdul Aziz yang kini disiasat polis.
Pengundi ini juga bimbang tuduhan tersebut Pakatan Harapan tidak akan dapat bertahan lama memandangkan parti kerajaan itu juga masih belum dapat menyelesaikan isu yang lebih mendesak.
Pengundi Port Dickson Mohd Khuwarizmi Jamaluddin, 27, dari Lukut berkata, rakyat sepertinya tidak mudah percaya Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak terlibat dalam video berkenaan.
“Itu fitnah, saya tak percaya Azmin terlibat, kita tahu politik Malaysia memang macam itu. Tak logik untuk dikatakan Azmin terlibat,” katanya.
Seorang lagi pengundi yang ditemui di majlis sambutan Aidilfitri anjuran Anwar Ibrahim di Port Dickson juga berpendapat tuduhan tersebut tidak masuk akal.
Sabri Ahmad, 44, berkata beliau percaya Azmin bukanlah pengamal budaya lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT), sekaligus tidak masuk akal mendakwa beliau terlibat dalam isu tersebut.
“Sekarang banyak perkara yang orang boleh buat, Azmin bukan jenis macam itu, pendedahan video itu tidak lain hanyalah atas dasar politik.
“Perjalanan politik Azmin cuba dihentikan dengan fitnah seperti ini, rasanya ini ada kaitan parti PKR, mungkin nak rosakkan karier politiknya,” katanya.

Suzana Zainul, 44, berkata, arena politik sememangnya diketahui penuh dan penipuan dan fitnah, sekaligus dia menolak perkara itu.
“Kita tahu fitnah itu adalah asam garam dalam berpolitik,” katanya.
Anuwar Abani, dari Teluk Kemang berkata, rakyat dan akar umbi PKR sepertinya sudah muak dengan penularan video seperti itu.
“Dari segi hukum agama hanya Allah yang tahu kesasihan video itu, benda ini berlanjutan dan kami dah menyampah dengan isu ini.
“Pemimpin PKR tak nak belajar dari pengalaman, dulu skandal Anwar, sekarang Azmin, kami akar umbi dah menyampah, orang Melayu sensitif dengan isu-isu seperti ini,” katanya.
Anuwar bagaimanapun bimbang penyebaran video itu akan merosakkan PKR yang sudah pun mula terpecah ekoran pemilihan parti tahun lalu.
Ini memandangkan, nama Rafizi Ramli, calon timbalan presiden PKR yang tewas dalam pemilihan itu mula dikaitkan dengan skandal berkenaan.
“Apabila ini berlaku, parti berkocak dari dalam, sekarang tiba-tiba dikaitkan Rafizi Ramli, sedangkan dia tak tahu apa apa,” katanya.

Pesara guru itu tidak menolak kemungkinan bahawa Azmin dikaitkan dengan skandal berkenaan kerana melihat timbalan presiden PKR itu amat berpengaruh.
Sebab itulah muncul isu dalam pelantikan menteri besar Selangor apabila calon dari kem Azmin dilantik menggantikannya menjadi menteri besar Selangor, dakwanya.
“Kita lihat ada beberapa isu berkait Azmin, antaranya peristiwa pelantikan menteri besar Selangor, Pakatan Harapan lantik orang lain, tiba-tiba ada tangan ghaib lantik orang lain,” dakwanya.
Anuwar juga melihat Azmin berusaha untuk menubuhkan kem sendiri dalam parti sehingga mengatasi presiden parti, Anwar Ibrahim.
“Nampak sangat dia nak tubuh kem baru, seolah-olah ada legasi Azmin, kita nampak itu berlaku sejak pemilihan parti sedangkan Anwar dah banyak berkorban untuk parti.
“Bila pemimpin macam ini akar umbi yang bermasalah, sebagai pemimpin masing-masing nak tunjuk kuasa mereka,” katanya.
Anuwar juga melihat, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad seakan-akan memilih bulu apabila melibatkan Azmin.
“Dulu sewaktu kes melibatkan Anwar, cepat sahaja dilucut jawatan timbalan perdana menteri, waktu itu Anwar belum lagi dibicarakan.
“Hari ini apabila kes melibatkan Azmin, tidak pula diminta Azmin lucut jawatan, macam ada layanan besar sebelah di situ,” katanya.
Ropiah Puteh, 66, pula berpendapat, isu ini akan menyebabkan PH ditolak oleh rakyat yang sudahpun mula menyampah dengan pentadbiran kerajaan hari ini.

Katanya, rakyat berharap pemimpin PH membawa perubahan dalam pentadbiran negara, namun selepas setahun pentadbiran, mereka sering dibelenggu isu yang tidak berkesudahan.
“Perpecahan PKR ini sudah daripada dulu, tapi dapat disembunyikan, sekarang lepas tersebar video mula terserlah. Kita tak tahu mungkin orang sekeliling mereka lebih kuah daripada sudu.
“Kita takut sekejap sahaja PH pegang (tadbir negara) kuasa di tangan rakyat, baru dua tahun pelbagai isu, tak habis habis. Isu minyak, isu tol tak selesai lagi,” katanya.
Haziq dalam pengakuannya berkata Azmin terlibat dalam video berkenaan. Azmin bagaimanapun menafikan perkara itu.
Anwar yang ditemui pemberita dalam majlis itu berkata, ahli PKR yang berfikiran waras tidak seharusnya percaya dengan isu seperti itu.
“Kalau ahli parti waras dan tak terlalu terikut-ikut sentimen dan fitnah, saya tak fikir ia boleh menjejaskan perpaduan parti,” katanya. – 16 Jun, 2019.
Komen