Salahuddin cadang dasar khusus bangunkan sektor pertanian


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata isu pertanian di negara ini tidak boleh lagi ditangani secara runcit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Jun, 2019.

ISU pertanian di Malaysia tidak lagi boleh ditangani secara runcit, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, selepas dua dekad terabai semasa pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sektor pertanian sebaliknya perlukan satu penyelesaian menyeluruh bagi membolehkannya bergerak maju seiring pembangunan sektor lain, katanya.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Salahuddin menjelaskan cabaran mengangkat bidang pertanian sebagai penjana ekonomi, yang tidak terhad di bawah bidang kuasa kementeriannya saja tetapi bertindih dengan beberapa pihak lain.

“Isu membangunkan pertanian pada tahap  ‘economy of scale’ ini memang bukan hanya tanggungjawab kami secara terpisah sebagai kementerian.

“Mesti ada dasar negara tentang pertanian yang datang secara kolektif, contohnya dasar tanah… perlu ada dasar tanah tentang pertanian.

“(Kita boleh tetapkan) sawah kita, bendang kita, maknanya tidak boleh diambil atau dibangunkan tanah jelapang, kena ada polisi (untuk menjamin bekalan beras),” katanya ketika wawancara bersama The Malaysian Insight, di Putrajaya baru-baru ini.

Salahuddin menjelaskan, beberapa faktor lain seperti percukaian dan alam sekitar juga perlu diberi perhatian kerana kedua-duanya saling berkait.

“Kita masih perlukan import bahan mentah untuk buat baja, cukai mesti dilihat munasabah, jangan terlalu tinggi nanti kita jual baja harga tinggi.

“Kita mahu ada kemampuan, kena imbangkan percukaian itu penting, kena ada polisi negara tentang pertanian,” katanya.

Kementerian Pertanian tidak mampu menyusun dasar itu bersendiri sebaliknya perlu dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan secara menyeluruh.

Tambah Salahuddin, kementeriannya secara bersendiri tidak mampu untuk membuat polisi negara, sehubungan itu ia perlu dilaksanakan pentadbiran kerajaan secara menyeluruh.

“Kementerian tak boleh buat polisi negara, negara yang kena buat, kena nyatakan apa negara mahu daripada sektor pertanian,” katanya.

Salahuddin yakin ada jalan keluar untuk mengatasi masalah pertanian melihatkan perhatian serius Dr Mahathir dan bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin pada bidang pertanian.

“Dua Tun ini (Dr Mahathir dan Daim) mengakui, ketika era mereka, selama 22 tahun, antara 1982 hingga 2002, mereka tidak memberikan perhatian kepada sektor pertanian kerana negara waktu itu fokus kepada sektor industri.

“Tapi sekarang semua orang lihat potensi pertanian, bagi saya bagus dua Tun ini cakap banyak soal pertanian,” katanya.

Salahuddin menyebut juga bagaimana dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Dr Mahathir memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan petani dan industri pertanian dalam skala besar.

Semasa lawatan ke China pada Ogos tahun lalu, Dr Mahathir meninjau kemajuan teknologi pertanian dan mahu Malaysia mencontohi negara itu. Dalam beberapa bulan selepas pulang dari China, Dr Mahathir membuat lawatan meninjau kegiatan pertanian antaranya di Kedah dan Selangor.

Daim juga membuat lawatan sama, ada antaranya berasingan. Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight bulan lalu Daim berkata pertanian adalah masa depan Malaysia.

“Saya terima dengan positif (lawatan dan kenyataan Daim). Ada orang kata Daim cuba masuk campur, tapi apa beliau boleh buat dalam usia sekarang, sudah berumur.

“Sudah tiba masanya dua Tun ini memberikan pemikiran mereka untuk memajukan bidang pertanian, apa yang perlu diubah, disemak, dan kemuka polisi baru untuk pertanian,” kata Salahuddin.

Beliau juga memberi jaminan kerajaan akan terus memperjuangkan penambahbaikan sektor pertanian.

“Saya akan terus bercakap tentang ini untuk lihat negara lebih serius dalam bidang ini, perlu juga ada campur tangan negara apa yang perlu dibuat untuk pertanian, kalau tidak kita tidak boleh capai hasrat kita,” katanya.

Malah katanya, cadangan berkenaan juga disambut baik pentadbiran Dr Mahathir. – 16 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen