Harga simen di Johor naik 50%, kontraktor bakal alami kerugian besar


Yeoh Cheong Ee

Para pengeluar masih berdiam diri mengenai punca kenaikan harga simen sebanyak 1.5 kali ganda dalam tempoh beberapa minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2019.

HARGA simen yang melonjak naik di Johor mencetuskan kebimbangan di kalangan kontraktor berhubung kenaikan bahan binaan di beberapa bahagian lain di negara ini.

Para pengeluar setakat ini terus berdiam diri mengenai punca kenaikan harga simen sebanyak 1.5 kali ganda dalam tempoh beberapa minggu, kata Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Foo Chek Lee.

“Kami kini menerima banyak aduan. Bukan sahaja di Johor,” kata Foo kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kenaikan harga simen tidak akan terhad di Johor sahaja, dan tidak lama lagi akan menjadi masalah di seluruh negara.

Syarikat pembinaan di Johor diberitahu oleh kilang simen bulan lepas yang harga simen akan melonjak sebanyak 50% kepada RM295, daripada RM200 bagi setiap tan metrik.

Kenaikan mendadak harga ini juga mungkin disebabkan kekurangan bekalan susulan penutupan sementara loji bagi kerja penyelenggaraan.

Foo berkata MBAM akan mengadakan mesyuarat dengan pengeluar untuk menyelesaikan isu harga.

“Kami juga memahami mereka (pengeluar simen) juga berdepan kerugian. Saya percaya ia melibatkan isu bekalan,” katanya, sambil menambah pihaknya akan bermesyuarat dengan segera untuk mendapatkan penjelasan. – 15 Jun, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen