Keluarga Haziq elak bertemu media 


Desmond Davidson

Jiran keluarga Haziq, Jeli Abdullah berkata, beliau tidak pasti siapa yang tinggal di rumah keluarga Haziq kerana 'mereka hanya datang dan pergi'. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Jun, 2019

KELIRU dan tidak percaya. Ahli keluarga dan mereka yang mengenali Haziq Abdullah Abdul Aziz dan keluarganya tidak dapat menafikan skandal video seks melibatkan menteri kabinet dan lelaki berusia 27 tahun berasal dari Sarawak itu. 

Penduduk di Kuching tahu ketua Pemuda PKR Santubong itu tidak mungkin merupakan lelaki yang berada di katil bersama seorang lagi lelaki yang didakwa adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, yang menafikannya. 

Seorang rakan keluarga berkata, keluarga Haziq yakin beliau akan dilepaskan dalam siasatan yang dijalankan.

Haziq ditahan polis di klia2 kira-kira pukul 5.30 petang semalam. 

Pada Rabu, satu klip video dimuat naik di akaun Facebook yang memaparkan Haziq mengatakan beliau dan Azmin merupakan lelaki dalam video seks yang tular pada Selasa. Haziq turut membuat laporan polis pada Khamis yang menafikan beliau mempunyai agenda politik. 

Rakan keluarga yang enggan dinamakan kerana bimbang publisiti dalam skandal itu berkata, video “pengakuan” Haziq dan juga video seks tidak mungkin melibatkannya berdasarkan bentuk fizikal. 

“Lelaki dalam video seks itu mempunyai fizikal lebih besar. Dan dia tidak ada rupa yang dikenali keluarganya,” katanya. 

Ditanya apakah rupa itu, rakan berkenaan enggan mengulas lanjut dan berkata biar polis sahaja yang menyiasat maklumat itu. 

Rakan itu juga berkata, Haziq tidak mungkin seorang homoseks kerana dia mempunyai teman wanita dan merancang untuk berkahwin. 

Rumah keluarga Haziq di Lorong Cenderawasih di Petra Jaya juga sunyi walaupun seseorang dilihat mengintai menerusi langsir tingkap di tingkat pertama kediaman itu ketika wartawan berkumpul di depannya. 

Seorang jiran berkata, individu dalam rumah itu adalah adik perempuan Haziq, walaupun ia tidak dapat disahkan. 

Polis tiba di rumah berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang semalam untuk mencari Haziq. 

Bapanya, Abdul Aziz Ibrahim membuat laporan polis kira-kira pukul 1 pagi mendakwa polis menceroboh kediamannya. 

Kediaman keluarga Haziq Abdullah Abdul Aziz di Kuching, Sarawak yang didakwa diceroboh oleh anggota polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2019.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan pihak polis yang mana Ketua Polis Daerah Kuching Awang Din Awang Gani berkata, pasukan yang pergi kekediaman berkenaan tidak menyalahgunakan kuasa mereka dan mengikut prosedur operasi standard. 

Sementara itu, ibu saudara Haiziq yang menemui pemberita di pagar kediaman itu meminta pihak media memberikan privasi kepada keluarganya dan mengatakan pihak keluarganya hanya akan bercakap “apabila tiba masanya”.

Ibu bapa Haziq dilaporkan berpindah buat sementara ke rumah datuknya apabila skandal itu terbongkar pada Rabu, susulan video “pengakuannya”. 

Seorang jiran, Jeli Abdullah berkata beliau tidak pasti siapa yang tinggal di rumah keluarga Haziq kerana “mereka hanya datang dan pergi”. 

Beliau yang merupakan pesara juga tidak ingat sama ada Haziq pernah bercakap dengannya atau jiran yang lain walaupun ibu Haziq dan semua saudara maranya dan keluarganya tinggal bersebelahan antara satu sama lain di atas sebidang tanah peninggalan neneknya di hadapan rumah Jeli. 

“Mereka tidak bercakap dengan sesiapa. Saya tak tahu siapa mereka. 

“Mereka sangat pendiam,” kata Jeli yang berusia 78 tahun. – 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen