Politik longkang, longsor: Alir arah politik Malaysia baharu


BAGI generasi Y dan Z mungkin tertanya-tanya apa itu politik longkang atau longsor (gutter politics).

Isu hebat terkini yang dilapor melalui hampir semua media Malaysia adalah mengenai politik pongkang atau gutter politics.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri menyatakan kekesalan beliau dan mengkritik tuduhan yang ditimbulkan terhadap timbalannya Mohamed Azmin Ali dan menyeru rakyat agar menolak politik sedemikian.

Beliau menganggap apa yang pernah beliau alami tidak akan berterusan lagi. Malangnya arah aliran ini masih berterusan dan ia adalah sesuatu yang menyedihkan, menyakitkan dan mengecewakan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan kerisauan beliau, “jika politik longkang atau longsor berterusan, giliran saya sebagai mangsa video boleh datang selepas Azmin”.

Dengan apa yang berlaku ketika ini, sukar bagi mereka yang baik dan layak untuk bangkit dan meningkat dalam politik Malaysia.

Bagi mereka yang sedang membina nama dan membantu dalam pembangunan  negara, ia menjadi satu igauan buruk. Kerjaya mereka akan tersekat kerana diseret ke dalam lumpur penghinaan dengan segala macam fabrikasi, rekaan dan fitnah dan pembohongan yang berbahaya.

Sesuatu yang lucu tentang politik Malaysia adalah bagaimana ia berfungsi dengan baik untuk menjatuhkan seseorang yang berpengaruh.

Iklim politik terkini begitu mengerikan, seolah-olah satu permainan terhebat, tempat ‘mereka yang bijak dan pandai membohong’ akan mencapai kejayaan dan kemenangan.

Kemampuan mencipta pembohongan dan separuh kebenaran serta kemampuan membuat serangan peribadi menjadi alat utama pergeseran pendapat umum.

Semua ini tidak menuntut kesediaan rakyat untuk menghayati hujah dengan bersungguh-sungguh mengenai cara menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik.

Adalah menghairankan mengapa ramai rakyat Malaysia begitu cepat percaya dan yakin dengan ‘sebaran cerita’ yang dihebahkan secara sistematik, yang terus menerus dicipta oleh pemusnah politik.

Kehebatan dan kebolehan “pemusnah politik” juga harus dipuji kerana mereka berjaya memanipulasi dengan mudah hasil arahan tetuan boneka mereka.

Keupayaan memanipulasi dan menguasai minda fikiran rakyat Malaysia juga merupakan sebab mengapa rakyat yang baik, yang berkebolehan dan layak tidak pernah mahu menjadi sukarelawan untuk perkhidmatan awam.

Kita juga tidak boleh mengabaikan “berita sensasi” yang disebarkan namun sudah tiba masanya kita menuntut kesopanan sebagai nilai utama dalam politik kita.

Nampaknya politik Malaysia lebih “terlongsor” apabila gosip, skandal dan eksploitasi seksual diketengahkan dalam media dan akhbar.

Gosip, seks dan skandal boleh membantu meningkat penjualan media akhbar dan tabloid itu tetapi apabila “kerosakan dan pencemaran” menjadi lumrah dalam politik negara kita, maka sudah tiba masanya kita mempertimbangkan implikasi tindakan sedemikian.

Apa yang membimbangkan mengenai trend ini ialah ia mengganggu kita daripada urusan politik yang sebenar.

Politik sudah menjadi tentang siapa yang mendapat apa, bila dan bagaimana. Politik sepatutnya menjadi prinsip seni tadbir urus yang mulia.

Namun, kita kini menyaksikan beberapa pihak terlibat dalam taktik yang dirancang untuk melemahkan keyakinan orang ramai terhadap sekumpulan ahli politik tertentu.

Dengan berbuat demikian, mereka menyeret politik ke dalam longkang untuk keuntungan yang mereka harapkan.

Dalam jangka masa panjang, taktik sedemikian hanya dapat memisahkan orang daripada urusan politik yang sebenar dengan mengubahnya menjadi sebuah tapak laman untuk melumpuhkan, bukannya ruang untuk menghasilkan dasar dan penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

Kita mesti bertindak sekarang untuk mencegah politik longkang atau longsor daripada menjadi norma dalam amalan politik kita.

Kita mesti menolak politik yang bertujuan untuk menumpukan perhatian kita kepada kegagalan moral yang ditakrif oleh beberapa ahli politik tertentu.

Sebaliknya kita harus memberi tumpuan kepada isu-isu penting seperti kemiskinan dan diskriminasi jantina.

Lebih penting lagi, kita tidak perlu memberi masa untuk membenarkan politik longkang berterusan, namun kita juga tidak harus mengabaikan semua berita sedemikian.

Sudah tiba masanya kita menuntut kesopanan dan kesusilaan sebagai nilai utama dalam politik kita. – 14 Jun, 2019.

* Azizi Ahmad, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen