Kamera AES kekal walau tak berfungsi, kata menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kementerian Pengangkutan menyatakan tidak akan mendedahkan mengenai status kamera 45 unit kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dipasang di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2019.

KEMENTERIAN Pengangkutan tidak akan mendedahkan status kamera 45 unit kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dipasang di seluruh negara, kata menterinya Anthony Loke.

Beliau menegaskan kamera itu ada di jalan raya dan lebuh raya sebagai peringatan kepada pemandu supaya mematuhi had kelajuan yang sudah ditetapkan.

“Fungsi kamera itu lebih kepada mendidik dan memberi peringatan kepada pemandu supaya patuh pada undang-undang jalan raya dan bukannya menyaman mereka.

“Saya tidak boleh menyatakan sama ada ia berfungsi atau tidak. Saya tahu apa yang sedang berlaku dan fungsi kamera itu masih berada di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan hanya empat kamera berkenaan yang masih beroperasi daripada keseluruhan 45 unit yang ada di seluruh negara selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil alih operasinya sejak September tahun lalu. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, 41 kamera di jalan raya dan lebuh raya yang dulunya dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak berfungsi kerana tidak diselenggara. 

Mengulas lanjut, Anthony berkata, isu keseluruhannya ialah kamera AES diletakkan di sana untuk memberi amaran kepada pemandu dan sasaran untuk memastikan pemandu berhati hati dan memberi fokus lebih atas jalan. 

“Ini kaedah psikologi kita. Apabila mereka lihat ada kamera AES, secara semulajadi mereka akan takut dan memperlahankan kenderaan dan itulah sasaran AES.

“Kamera AES bukan untuk menghukum pemandu semata-mata, sebaliknya mengingatkan mereka supaya  memperlahankan kenderaan, justeru tiada keperluan untuk memaklumkan sama ada kamera tersebut berfungsi atau sebaliknya.

“Jika saya maklumkan AES tidak berfungsi maka semua akan (selesa) memecut, tapi ingatlah jangan ambil kesempatan,” katanya.

Menurutnya, kalau media laporkan AES tak berfungsi dan sekiranya pemandu terima saman dia akan menyalahkan media pula.

“Jadi saya tidak akan komen ia berfungsi atau tidak, kami memahami sepenuhnya isu (AES) itu dan apa yang berlaku, kami nak orang perlahankan kenderaan di lokasi kamera AES,” katanya.

AWAS ialah sistem penguatkuasaan lalu lintas yang menggabungkan kamera pemantau AES dengan sistem mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara), yang bermula sejak April 2017.

Pada Mac lalu, Loke memberitahu Dewan Rakyat daripada 45 kamera yang ada, 29 adalah kamera peraturan had laju dan 16 kamera peraturan lampu isyarat. 

JPJ mengambil alih sepenuhnya operasi, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan sistem berkenaan selepas perjanjian konsesi sebelum ini tamat pada 31 Ogos 2018. 

Pada 17 Ogos sebelumnya, kerajaan membatalkan semua saman yang belum berbayar yang dikeluarkan di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). 

Saman bernilai RM435 juta itu dibatalkan kerana penjanjian berat sebelah antara kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan dua syarikat konsesi pengendali sistem, Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn. 

Menurut Loke, di bawah perjanjian itu kerajaan  tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman sebaliknya ia dibayar sepenuhnya kepada dua syarikat konsesi tersebut. 

Sumber juga mendedahkan cadangan kerajaan memasang kamera AWAS mudah alih di lokasi panas masih tergendala sampai sekarang juga kerana masalah penyelenggaraan. 

Pelaksanaan sistem kamera pemantau ini pernah dibantah oleh pemimpin Pakatan Harapan yang bagaimanapun mengubah pendirian mereka selepas jadi kerajaan. 

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menjelaskan pendirian mereka berubah kerana bantahan sebelum ini adalah atas penswastaan sistem yang memberi untung kepada syarikat konsesi. 

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, semua saman yang dikutip akan disalur kembali kepada kerajaan melalui JPJ dan ia tidak merugikan negara. – 14 Jun, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen