Biar Putrajaya siasat SB kes aktivis hilang, kata Hamid


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis akan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Jun, 2019.

POLIS tidak akan menghalang siasatan pasukan petugas khas ke atas Cawangan Khas yang didakwa terlibat dengan kehilangan dua orang aktivis, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Pasukan itu akan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh itu, katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Kataya lagi, beliau juga tidak akan mencampur aduk siasatan itu dengan menjalankan siasatan dalaman ke atas Cawangan Khas berhubung kes berkenaan.

“Biar Putrajaya yang uruskan kes ini, saya tidak mahu segalanya bercampur aduk. Tiada bantahan mahupun halangan dari pihak saya.

“Sebaik jawatankuasa kerja itu diumumkan, kami akan bekerja selaras dengan itu,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight.

Penubuhan pasukan petugas khas bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat dua aktivis tersebut diumumkan menterinya Muhyiddin Yassin pada Mei lalu.

Ia ditubuhkan hasil siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa polis Cawangan Khas terbabit dalam kes kehilangan paksa Amri dan Koh.

Koh yang mengasaskan NGO Harapan Komuniti dipercayai diculik sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Rakaman kejadian menunjukkan ia ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada sepuluh lelaki dan tujuh kenderaan.

Pejabat Harapan Komuniti pernah diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada 2011 kerana didakwa terlibat menyebar agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Sementara itu Amri, 44 tahun, merupakan pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, yang hilang sejak 24 November 2016.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Arifin mendakwa aktivis itu dibawa oleh sekumpulan individu menaiki lima kenderaan dalam kejadian berhampiran rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Perlis Hope dilaporkan bergeser dengan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang tidak senang dengan kegiatan NGO tersebut mempromosi fahaman Syiah. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen