Polis beri amaran pada Zakir Naik, kata KPN


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pendakwah Islam dari India, Zakir Naik diberikan amaran oleh pihak polis Malaysia agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kontroversi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2019.

POLIS hanya menunggu Zakir Naik melanggar undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas pendakwah kontroversi itu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight, Hamid berkata warga India itu sudah diberi amaran akan dikenakan tindakan tegas sekiranya ingkar.

“Kami sudah memberi amaran kepadanya agar tidak membuat kenyataan kontroversi di sini dan kami akan mengambil tindakan jika dia tidak akur pada amaran itu.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan apa jua ucapan yang mencetuskan kebencian oleh mana-mana individu, bukan hanya untuk Zakir Naik,” kata Hamid di pejabatnya di Bukit Aman.

Zakir menetap di Malaysia sejak beberapa tahun lalu dan menerima status pemastautin tetap sewaktu kerajaan ditadbir Barisan Nasional.

Beliau dikehendali kerajaan India sudah berusaha untuk mengekstradisi pendakwah itu atas tuduhan berkaitan dengan keganasan dan pengubahan wang haram di negara asalnya itu.

Zakir menafikan segala tuduhan tersebut.

Kerajaan Malaysia pada Isnin lalu pula menegaskan Zakir hanya akan dihantar pulang sekiranya India memberi jaminan akan menjalankan pendakwaan yang adil ke atas pendakwah itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia perlu diberitahu nasib yang akan menimpa Zakir sekiranya diekstradisi.

Menurutnya, sikap itu sama seperti pendirian Australia berhubung usaha Malaysia untuk membawa pulang Sirul Azhar Umar, bekas komando polis yang disabitkan atas kesalahan membunuh.

Sehingga hari ini, Australia masih enggan menghantar Sirul pulang kerana tidak bersetuju dengan hukuman gantung ke atas lelaki tersebut.

“Jadi, Malaysia juga berhak menentukan sama ada orang yang kami hantar semula akan diberi keadilan yang adil juga,” tegas perdana menteri seperti dilaporkan Isnin lalu.

Ketika ditanya, Hamid berkata hanya Wisma Putra berkuasa untuk menghantar Zakir pulang walau India memohon notis merah Interpol dikeluarkan terhadap penceramah itu.

“Kami tidak boleh melakukannya, dia hanya boleh diekstradisi jika Putrajaya memberi kelulusan,” jelasnya lagi.

Media India melaporkan, negara itu kini dapat memohon notis merah selepas pihak berkuasanya menerima waran tanpa jaminan apabila mendakwa Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegaskan tidak bertolak ansur dengan apa jua ucapan yang mencetuskan kebencian oleh mana-mana individu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Jun, 2019.

Dengan notis merah itu, Zakir akan dikehendaki di semua negara anggota Interpol.

Permohonan India untuk mendapatkan notis merah dibatalkan pada Disember 2017 ketika Zakir masih belum dijatuhkan pertuduhan.

Kerajaan India menganggap Zakir sebagai pendakwa yang mempromosi kebencian yang menyeru pendengar ucapannya melakukan keganasan.

Zakir juga dikehendaki bagi prosiding siasatan di bawah Akta Pelarian Pesalah Ekonomi.

Malaysia menganggotai Interpol dan turut menandatangani perjanjian ekstradisi dengan India. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen