DUA lelaki dengan lebih 40 rekod jenayah lampau ditahan polis bersama sebutir bom buatan sendiri di Pasar Seni, di Kuala Lumpur hari ini, kata polis.
The Malaysian Insight difahamkan kedua-dua suspek dikejar polis dari Taman Shamelin hingga ke Pasar Seni sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 5 petang.
Sumber berkata, dua lelaki tempatan dalam lingkungan usia 30-an itu turut membawa bersama peralatan pecah rumah. Seorang daripadanya dikehendaki oleh polis.
“Kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki suspek ditemui dalam keadaan mencurigakan di Taman Shamelin.
“Apabila kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Cheras hendak membuat pemeriksaan, kenderaan itu dipandu laju menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan akhirnya sampai ke Pasar Seni.
“Tiba di Pasar Seni kenderaan itu terbabas dan melanggar tembok manakala dua lelaki itu cuba lari ke dalam Pasar Seni.
“Bagaimanapun, dengan bantuan polis Dang Wangi kedua-dua mereka berjaya ditahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menjumpai sebutir bom buatan sendiri. Bom berkenaan berjaya dimatikan dengan bantuan unit pemusnah bom.
Kedua-dua suspek dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan sebelum ditahan, kata sumber.
“Polis turut menemui alat hisap dadah, barangan dipercayai hasil curi di dalam kenderaan itu,” katanya. – 13 Jun, 2019
Komen