AZMIN Ali dan Haziq Abdul Aziz akan dipanggil untuk siasatan bagi penularan video seks sejanis sekiranya perlu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan siasatan dan buat masa ini pihak berkuasa itu belum memanggil kedua-dua individu tersebut bagi merakam kenyataan.
“Kita ambil tindakan sebagaimana kes-kes lain. (Apabila) ada laporan polis kita akan buat siasatan. (Sekarang) orang sibuk beraya, susah nak panggil-panggil orang.
“Sekarang kes ini dalam proses siasatan, (mereka) boleh dipanggil boleh jadi tidak dipanggil, kita lihat mana yang berkenaan,” katanya kepada pemberita.
Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya, hari ini.
Akaun Facebook Haziq yang merupakan ketua Pemuda PKR Santubong semalam mendakwa pemuda itu merupakan individu dalam rakaman video menunjukkan aksi seks dua lelaki.
Individu tersebut juga mendakwa Azmin merupakan pasangannya dalam rakaman video tersebut, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh menteri hal ehwal ekonomi tersebut.
Azmin menyifatkannya sebagai cubaan kejam dan berniat jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Rakaman video aksi seks sejenis itu dikesan disebarkan melalui kumpulan sembang WhatsApp sejak Selasa.
Akaun Facebook Haziq hari ini membuat tuduhan baru mendakwa dia dan Azmin melakukan seks beberapa kali sejak tiga tahun lalu.
Dakwaan itu dimuatkan di akaun sama yang menyiarkan satu rakaman didakwa sebagai pengakuan Haziq melakukan seks dengan Azmin. – 13 Jun, 2019.
Komen