Shukri hapus kem dalam SPRM, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull dikatakan berjaya menghapuskan kem dalam agensi itu, yang sebelum itu wujud ketika zaman ketua terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2019.

LATHEEFA Koya mewarisi pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersatu hasil usaha yang dilakukan oleh pendahulunya, Mohd Shukri Abdull, kata sumber.

Pegawai tinggi SPRM berkata ia hasil usaha Shukri menghapuskan kem dalam pasukan itu ketika menjadi ketua pesuruhjaya dalam masa lebih kurang setahun.

Menurut sumber, “dua kem” tersebut wujud semasa SPRM ditadbir ketua pesuruhjaya terdahulu, Dzulkifli Ahmad yang dilantik ke jawatan itu semasa Najib Razak menjadi perdana menteri.

“Ada satu kumpulan pegawai yang bantah tindakan pegawai tertinggi manakala satu kumpulan lagi yang hanya ikut telunjuk ketua,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, kumpulan pertama itu tidak gemar dengan tindakan pengurusan SPRM yang hanya mengikut telunjuk pemimpin kerajaan Barisan Nasional yang menguasai Putrajaya ketika itu.

“Dua kem ini juga berpunca dari rasa tidak puas hati atas siasatan kes berprofil tinggi yang terpaksa dihentikan sebaik Dzulkifli mengambil alih pucuk pimpinan.

“Bagaimanapun, sebaik Shukri ambil alih pucuk pimpinan SPRM, dia menyelesaikan masalah ini terlebih dulu.

“Kini, Latheefa tidak perlu risau mengenai masalah berkenaan kerana bekas penyandang jawatannya menyerahkan satu pasukan yang bersatu padu dalam memerangi rasuah,” katanya.

Isu perpaduan itu turut dijelaskan Shukri dalam taklimat kepada Latheefa sewaktu penyerahan tugas pada Isnin lalu, kata sumber yang enggan dinamakan.

The Malaysian Insight difahamkan, Latheefa turut diberi penerangan mengenai perkembangan semua kes yang dalam siasatan agensi itu.

Sebaik memulakan tugas di SPRM pada 1 Jun, Latheefa Koya difahamkan mengadakan mesyuarat pertamanya bersama semua pengarah bahagian dan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2019.

Latheefa dilantik sebagai ketua pesuruhjaya baharu berkuatkuasa bulan ini, menggantikan Shukri yang menamatkan kontrak lebih awal dari tarikh sepatutnya pada Mei 2020.

Shukri berkata beliau bertindak demikian kerana berjaya menamatkan misinya untuk menyelesaikan dua kes besar – SRC International dan 1Malaysia Development Bhd.

Bekas perdana menteri Najib sudah dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan melibatkan penyelewengan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung kes itu.

Sebaik memulakan tugas pada 1 Jun, Latheefa difahamkan mengadakan mesyuarat pertamanya bersama semua pengarah bahagian dan negeri dalam agensi antirasuah itu.

“Kini, semua pengarah bahagian dan negeri tekad untuk memberi kerjasama dan sokongan kepada Latheefa dalam usaha memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa,” kata sumber.

Antara arahan baharu yang diperkenal Latheefa adalah aspek keselamatan untuk memeriksa setiap kenderaan awam yang masuk keluar bangunan SPRM.

Pelantikan Latheefa ditentang pelbagai pihak termasuk daripada kalangan pemimpin Pakatan Harapan namun dipertahankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang memutuskan perkara itu.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan perwatakan Latheefa yang tegas, bercakap benar dan tidak menipu. – 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen