Tanggungjawab ahli politik kawal ketegangan, kata KPN


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata ahli perlu bertanggungjawab atas ketegangan kaum dan agama yang semakin meningkat dalam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Jun, 2019.

AHLI politik perlu bertanggungjawab atas ketegangan kaum dan agama yang semakin meningkat dalam negara, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pemimpin berkenaan perlu memikul tanggungjawab itu kerana tidak menunjukkan pendirian tetap dalam isu agama dan perkauman.

“Ada kalanya mereka akan menyokong di A dan pada hari yang lain apabila mereka melihat peluang, mereka akan berpaling ke arah lain,” kata Hamid.

Bekas pengarah Cawangan Khas itu berkata beliau sering memberi nasihat pihak berkepentingan itu bahawa isu agama dan sentimen perkauman mampu menjatuhkan negara.

Ia disampaikan dalam pertemuan dengan anggota Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Agama serta pemimpin masyarakat sewaktu dalam cawangan khas, katanya.

“(Kami) memberitahu mereka mengenai bahaya membiarkan agama dan isu-isu kaum dipolitikkan,” katanya.

Hamid berkata beliau tidak mahu menahan semua pihak yang mengkritik kerajaan dengan menggunakan isu kaum dan agama.

“Bagi saya dan pengarah saya sebelum ini, menahan seseorang pilihan terakhir, hanya jika ia tidak dapat dikawal.

“Ingat lagi apabila Teresa Kok ditahan di bawah ISA, bukan Cawangan Khas yang memberikan arahan itu,” katanya.

Kok yang kini menteri industri utama ditangkap pada 12 September, 2008 dan ditahan selama tujuh hari di bawah ISA kerana aktiviti yang didakwa boleh mencetus ketegangan dan rusuhan kaum.

Ia susulan laporan yang mendakwa Kok menuntut agar memperlahankan laungan azan di masjid Bandar Kinrara 5 di Puchong.

Hamid juga menyatakan pendiriannya untuk tidak membenarkan Cawangan Khas polis dipergunakan oleh kerajaan semasa sama seperti kerajaan lama.

“Cawangan Khas (SB) bukan alat untuk menindas pengkritik dan saya tidak akan biarkan ia berlaku,” katanya yang mengakui unit tersebut digunakan oleh rejim lama untuk mendiamkan pengkritik.

Beliau turut memuji kerajaan baru kerana membenarkan pembangkang menyuarakan pendapat masing-masing dan melihat kerana perbuatan itu mematangkan semua pihak.

“Ini satu langkah yang baik oleh pentadbiran baru kerana membenarkan pembangkang bersuara dalam mengamalkan sistem demokrasi.

“Bagaimanapun, perlu ada had untuk semua pihak patuhi. Jika melampau, kami tidak akan berpeluk tubuh meskipun ada ruang untuk kritikan.

“Hanya kes ekstrem yang kami akan ambil tindakan, kita akan membenarkan pembangkang bersuara tetapi secara terkawal. Rakyat Malaysia kini proses mencapai kematangan,” katanya.

Hamid turut memberi jaminan pasukan polis akan bersikap terbuka dalam membenarkan orang ramai mengkritik kerajaan.

“Seperti yang saya katakan, hanya pada kes yang melampau, contohnya apabila anda menghina agama seseorang, tidak kira apa yang anda anuti, anda tidak boleh menghina orang lain,” katanya. – 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen