KETIKA skandal 1MDB memuncak, Abdul Hamid Bador tidak berdiam diri dan perkara itulah yang menyebabkan beliau ditukarkan daripada jawatan timbalan pengarah cawangan khas Bukit Aman.
Namun beliau tidak sanggup ditahan daripada menjalankan siasatan apabila ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri, lalu Abdul Hamid memilih untuk bersara awal.
“Ketika itu, saya bersama Pengarah Cawangan Khas Akhil Bulat berjumpa dengan bekas perdana menteri untuk memaklumkan mengenai 1MDB.
“(Najib) menyatakan akan meneliti perkara itu dan disebabkan itu saya dipindahkan keluar dari cawangan khas,” katanya.
Lalu pada 2016, beliau pulang ke kampung untuk mengusahakan ladangnya di Rembau, Negeri Sembilan.
Itulah kerjanya saban hari sehingga diminta untuk kembali menerajui pasukan polis selepas pentadbiran Putrajaya diambil alih pada Mei tahun lalu.
Mengimbau semula saat itu, Abdul Hamid berkata panggilan daripada pegawai khas perdana menteri itu meminta beliau untuk bertemu dengan perdana menteri pada jam 3 petang.
“Sebaik tiba di sana, Tun menyatakan memerlukan bantuan saya berikutan selepas kembali ke kerajaan, dia tidak mengenali ramai orang terutamanya yang boleh dipercayai.
“Saya kata ‘ya’ dan bertanya cara untuk bantunya dan beliau meminta saya masuk pasukan semula. Dia menawarkan saya untuk menjadi pengarah cawangan khas semula.
“Saya berasa syukur kerana diberi peluang itu. Apabila saya tinggalkan pejabat Tun hari itu, ramai individu yang biasa dilihat sedang menunggu untuk berjumpa dengan beliau,” katanya.
Dalam tempoh 10 hari selepas pertemuan itu, beliau menerima panggilan daripada seorang pegawai Bukit Aman yang menyatakan surat tawaran kerjanya sudah siap.
“Saya tandatangan surat tawaran kerja itu di atas but kereta di tempat letak kereta di Masjid Bukit Aman,” katanya yang menjelaskan ia menawarkan khidmat selama setahun di jawatan itu.
Dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, beliau berjaya mengemukakan bukti bagi kes jenayah untuk mengheret beberapa pemimpin BN dan anggota pentadbiran kerajaan itu ke mahkamah.
Ia termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor serta bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Hari ini, pada usia 61 tahun, Abdul Hamid dapat menyatakan rasa gembiranya kerana diberi peluang untuk menjadi ketua polis negara ke-12, berkuatkuasa 4 Mei.
Namun Hamid berkata beliau tidak menukar atau membuang mana-mana pegawai polis walaupun disisih daripada jabatan pimpinannya tiga tahun lalu.
“Saya tidak berdendam dengan sesiapa pun. Tak ada askar yang jahat, hanya jeneral yang teruk,” katanya. – 13 Jun, 2019.
Komen