PKR belum putuskan status Haziq, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, biro politik PKR akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang akan datang, memandangkan isu berkenaan masih berlarutan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Jun, 2019

PKR belum memutuskan status keahlian Haziq Abdul Aziz, yang mendakwa dirakam melakukan seks sejenis dengan seorang menteri, kata presiden parti itu Anwar Ibrahim.

Menurutnya, biro politik PKR akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang akan datang, memandangkan isu berkenaan masih berlarutan.

“Kita akan bersidang pada masa singkat, perkara ini belum berkesudahan dan kita akan teliti lagi dan saya juga dapatkan input pegum dan akan bincang semula dalam masa beberapa hari lagi.

“Hari ini belum ada keputusan,” kata Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat biro tersebut di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Anwar juga berkata, kedudukan Haziq sebagai setiausaha sulit kanan kepada Shamsul Iskandar Mat Akin juga akan diputuskan oleh timbalan menteri industri utama itu.

“Itu serahkan kepada timbalan menteri untuk umumkan pada masa sesuai,” kata Anwar lagi.

Beliau juga berkata PKR tidak berhasrat untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran video tersebut menunjukkan aksi seks dua orang lelaki yang tersebar sejak semalam.

“Kita tak mahu jejaskan siasatan yang dilaksanakan dan tak perlu laporan polis. Polis sudah buat siasatan,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Susulan penularan video tersebut, seorang setiausaha sulit kanan seorang menteri, Haziq Abdul Aziz, hari ini mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam rakaman tesebut.

Beliau juga mendakwa salah seorang lagi pelaku adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Azmin yang menafikan dakwaan tersebut hari ini berkata tuduhan itu adalah usaha kejam dan berniat jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Video berkenaan pada awalnya dikesan tersebar melalui beberapa kumpulan sembang dalam aplikasi WhatsApp.

Seterusnya pada hari ini, beberapa lagi kumpulan sembang WhatsApp dikesan dibentuk untuk menyebarkan beberapa lagi video seks sejenis.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PKR menolak sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab itu tanpa mengira daripada mana sumber penyebaran video tersebut.

“Kami mengecamnya tidak kira daripada mana sumbernya, kami tiada bukti (untuk tuduh) dari dalam parti atau musuh yang terlibat,” katanya lagi. – 12 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen