MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bertemu pada Khamis untuk membincangkan isu keganasan di Myanmar dan mendengar taklimat daripada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengenai krisis itu, kata para diplomat.
Britain, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan empat negara lain meminta mesyuarat itu diadakan selepas lebih 430,000 orang, kebanyakannya etnik Rohingya beragama Islam, melarikan diri daripada kempen ketenteraan di Myanmar sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan menyeberang ke sempadan Bangladesh.
PBB menyifatkan operasi ketenteraan sebagai “pembersihan etnik” dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron minggu lalu menggambarkannya sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, yang mengecam nasib diterima Rohingya, menuduh Myanmar melancarkan “keganasan Buddha” terhadap minoriti Islam dan juga mengutuk “pembunuhan beramai-ramai.”
Operasi ketenteraan tercetus oleh serangan yang dilakukan pelampau Rohingya terhadap pos polis pada 25 Ogos.
Mesyuarat itu juga diminta oleh Mesir, Kazakhstan, Senegal dan Sweden, yang merupakan anggota tidak tetap dewan.
Anggota majlis juga akan mendapat maklumat terkini mengenai keadaan di Myanmar pada Selasa, menjelang taklimat rasmi oleh ketua PBB, yang akan diadakan dalam satu sesi terbuka.
Majlis Keselamatan awal bulan ini menggesa “langkah segera” untuk mengakhiri keganasan, susulan mesyuarat tertutup yang diadakan sebelum itu.
Seramai 1.1 juta kaum Rohingya menderita diskriminasi di Myanmar, kewarganegaraan mereka dinafikan walaupun ramai yang berasal dari situ,
Pada awal September, Guterres mengambil langkah yang jarang sekali dibuat dengan menghantar surat kepada majlis untuk menyatakan keprihatinan tentang “bencana kemanusiaan” yang berlaku, menimbulkan kebimbangan ia akan memberi “implikasi kepada keamanan dan keselamatan” di luar sempadan Myanmar. – AFP, 26 September, 2017.
Komen