Azmin kekal timbalan presiden PKR, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Azmin Ali masih timbalan presiden PKR, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Jun, 2019.

AZMIN Ali masih kekal sebagai timbalan presiden PKR, tegas Anwar Ibrahim yang menolak sekeras-kerasnya serangan ke atas orang kanannya itu.

Biro politik parti memutuskan perkara itu dalam mesyuarat pada malam ini, kata presiden PKR tersebut kepada pemberita di Petaling Jaya.

“Beliau tidak dapat hadir mesyuarat, tapi sudah berbincang dengan saya, beliau juga masih lagi timbalan PKR, tiada perubahan,” kata Anwar. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak menjangka serangan peribadi melalui tuduhan terlibat hubungan homoseks itu kembali berulang selepas beliau dijadikan sasaran.

Anwar berkata, beliau menolak sekeras-kerasnya budaya politik seperti itu yang menurutnya bertentangan dengan nilai etika, budaya, dan agama.

“Saya fikir pengalaman (kes liwat) saya akan jadi yang terakhir, tapi trend ini berterusan dan amat memualkan. 

“Saya tak faham kenapa ia mesti berterusan, saya membantah keras (kes seperti ini) yang bertentangan daripada etika, agama dan semangat moral. 

“Bukan ini sepatutnya berlaku dalam politik dan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat biro politik di ibu pejabat PKR.

Anwar juga berkata beliau sudah menghubungi Azmin semalam dan berbicara panjang berkenaan isu tersebut.

“Saya berbincang dengan Azmin semalam melalui telefon kerana beliau ada mesyuarat sebelum saya berjumpa Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad).

“Saya suarakan simpati kepada beliau dan keluarga, saya beri jaminan apa bantuan parti boleh berikan untuk membantu, dan beliau minta maaf (tidak dapat hadir mesyuarat biro politik hari ini).

“Beliau juga menyerahkan kepada biro politik untuk tindakan selanjutnya,” kata Anwar.

Mesyuarat biro politik itu membincangkan beberapa video menunjukkan aksi seks dua orang lelaki yang tersebar sejak semalam.

Susulan penularan video tersebut, seorang setiausaha sulit kanan seorang menteri, Haziq Abdul Aziz, hari ini mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam rakaman tesebut.

Beliau juga mendakwa salah seorang lagi pelaku adalah Azmin, yang menafikan  sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Azmin yang menafikan dakwaan tersebut hari ini berkata tuduhan itu adalah usaha kejam dan berniat jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Video berkenaan pada awalnya dikesan tersebar melalui beberapa kumpulan sembang dalam aplikasi WhatsApp. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen