Saya bicara panjang dengan Azmin, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Saya sudah bercakap dengan Azmin Ali tentang skandal video seksnya, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Jun, 2019.

DAKWAAN seorang setiausaha timbalan menteri mengenai hubungan homoseksual dengan Azmin Ali sudahpun dibincangkan panjang lebar dengan timbalan presiden PKR itu, kata Anwar Ibrahim.

Ia dibincangkan dengan timbalannya itu sebelum mesyuarat biro politik parti yang akan berlangsung petang ini, kata Anwar di bangunan ibu pejabat parti.

“Tidak (Azmin datang mesyuarat) tapi saya ada hubungi melalui telefon dan bicara panjang. Saya bercakap panjang semalam (dengan Azmin),” kata Anwar kepada pemberita.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pula memberitahu pemberita, dakwaan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR.

“Kita akan bincang mengenai isu video seks pada petang ini,” katanya.

Tuduhan mengenai hubungan homoseksual itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Azmin yang juga menteri hal ehwl ekonomi dalam saatu kenyataan petang ini.

Dakwaan itu muncul apabila apabila beberapa video tersebar melalui beberapa kumpulan sembang dalam aplikasi WhatsApp.

Seorang setiausaha sulit kanan seorang menteri, Haziq Abdul Aziz, semalam mengaku terlibat dalam video menunjukkan aksi homoseks tersebut.

Haziq juga mendakwa seorang lagi individu dalam rakaman tersebut adalah Azmin.

Azmin yang menafikan dakwaan tersebut hari ini berkat tuduhan itu adalah cubaan kejam dan berniat jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

“Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen