Penyanyi wanita didakwa bersalah bela, kurung beruang matahari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Penyanyi Zarith Sofia dikawal oleh anggota polis ketika tiba di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pagi ini, susulan kes berkaitan beruang matahari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2019.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendakwa bekas peserta program realiti nyanyian Rockanova, Zarith Sofia atas dua pertuduhan berkaitan kesalahan menyimpan anak beruang matahari, lapor Kosmo Online.

Zarith Sofia Mohd Yasin, 27, dituduh menyimpan seekor beruang matahari (Herlactos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 69(1) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, penyanyi itu didakwa mengurung beruang itu dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar itu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 86(1)(c) akta sama, membawa hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kondominium Sentrio Pandan, Desa Pandan, Kuala Lumpur, 8 malam pada 6 Jun lalu.

Penyanyi itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh ditahan pada Jumaat lalu selepas Perhilitan membuat pemeriksaan mengejut ke kediaman tersebut di Desa Pandan atas maklumat orang awam.

Satu video yang tular menunjukkan anak beruang itu cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, dengan syarat tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen