Kembali ke politik longkang


Jahabar Sadiq

Umumnya, rakyat Malaysia mengundi untuk sebuah kerajaan yang memberikan sinar harapan kalau pun bukan sebuah hidup yang lebih sempurna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2019.

EMPAT belas Orang Asli meninggal dunia baru-baru ini akibat penyakit misteri yang belum diketahui puncanya. Kanak-kanak di Putrajaya masih ada yang tidak cukup zat makanan. Mahasiswa perubatan tidak ada kerja. Sesetengah negeri masih membenarkan perkahwinan di bawah umur. Ekonomi kita masih bertatih.

Tetapi tumpuan kita hari ini ialah pada dakwaan pengakuan video seorang pegawai politik mengesahkan kononnya beliau melakukan hubungan seks dengan seorang menteri semasa berkempen di Sabah. Lelaki itu turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan rasuah melibatkan menteri berkenaan.

Semua ini berlaku dalam masa seminggu selepas pelantikan kontroversi Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adakah dua peristiwa ini berkait? Pada satu sisi, ya, kerana Latheefa dikaitkan dengan kumpulan menteri itu semasa beliau menganggotai PKR.

Ya, kerana menteri itu dari PKR dan pegawai politik itu juga ahli PKR.

Politik kepartian seolah-olahnya mengatasi segala-gala, sama seperti pada 1998 ketika Anwar Ibrahim berdepan tuduhan sama, hilang jawatan dan kemudiannya dipenjarakan.

Kita sekali lagi dihadapkan dengan politik longkang.

Kita sekali lagi disogokkan dengan politik rebut kuasa zaman selepas Mahathir.

Kita sekali lagi dihidangkan dengan video yang dibuat dengan jelik dan tuduhan rasuah, yang tidak ubah sama seperti drama Melayu lengkap dengan watak jahatnya yang buruk gaya rambutnya, ketawa yang dibuat-buat dan jus oren.

Hakikatnya, ahli politik Malaysia perlu lebih matang. Mereka harus sedar bahawa majoriti rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan, baik Pakatan Harapan (PH) mahupun PAS, tetapi tentunya bukan Barisan Nasional yang biasa dengan skandal seks dan rasuah.

Rakyat Malaysia mengundi untuk sebuah kerajaan yang tidak akan mencuri atau mengenakan cukai. Rakyat Malaysia mengundi untuk sebuah kerajaan yang boleh menyelesaikan masalah pendapatan kelas menengah yang tidak berkembang, menyediakan kemudahan kesihatan, mengurangkan birokrasi, dan membanteras rasuah.

Umumnya, rakyat Malaysia mengundi untuk sebuah kerajaan yang memberikan sinar harapan kalau pun bukan sebuah hidup yang lebih sempurna.

Rakyat Malaysia mengundi untuk tadbir urus yang lebih baik, yang perdana menteri dan kabinetnya bertanggungjawab serta menunjukkan proses yang wajar dalam membuat keputusan. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan rakyat, daripada rakyat dan untuk rakyat.

Bukannya kerajaan yang masih menipu rakyat, kalau pun bukan diri mereka sendiri.

Barangkali politik jahat seperti ini masih ada kerana ahli politiknya masih orang yang sama. Hanya ini yang mereka tahu iaitu menggunakan dakwaan homoseksual dan rasuah – walaupun sekarang memuat naiknya di Facebook dan bukan lagi mengirimkan klip video 3g yang kabur.

Tetapi kesannya serupa. Polis dan SPRM akan menyiasat skandal ini. Putrajaya perlu menanganinya, sehingga menjejaskan kerja-kerja yang ada untuk memenuhi mandat dan manifesto PH.

Skandal ini boleh jadi betul, boleh jadi juga satu fitnah. Apa yang pasti, rakyat Malaysia akan terus bergelumang dalam politik longkang, dan bukannya melihat sebuah kerajaan yang lain yang menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu Malaysia.

Sebuah Malaysia yang baharu? Bukan, ini sebuah Malaysia yang jauh lebih lama. – 12 Jun, 2019.

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen