GAJI permulaan graduan universiti tidak naik sejak 20 tahun lalu, walaupun dengan kadar inflasi, berikutan produktiviti dan kesediaan untuk pasaran kerja kekal rendah, kata majikan Malaysia.
Ter Leong Yap, yang kali pertama menceburi bidang pekerjaan kira-kira 30 tahun lalu, berkata gaji pertama beliau ialah kira-kira RM2,000, termasuk elaun dan faedah.
Ter, yang juga presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia berkata, kini graduan muda juga berpendapatan hanya kira-kira RM2,000 sebulan.
“Saya rasa ini adalah kerana situasi bekalan dan permintaan, institusi pendidikan dan rantaian nilai. Graduan hari ini tidak memenuhi pasaran dan majikan tidak boleh memenuhi permintaan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Walau diterima sekalipun, mereka tidak boleh terus bekerja, sebaliknya mereka perlu diberikan latihan tambahan.”
Ter berkata pembangunan modal insan penting bagi industri, dan syarikat dalam jangka masa panjang.
“Syarikat saya sendiri menyediakan latihan tambahan kepada pekerja, kerana ini akan meningkatkan syarikat dalam jangka panjang,” katanya.
Presiden Persatuan SME Malaysia Kang Hua Keong berkata, bayaran gaji hari ini sebenarnya lebih rendah berbanding 20 atau 30 tahun yang lalu, selepas inflasi diambil kira. Beliau percaya, masalah terletak pada sistem pendidikan Malaysia dan kualiti pendidikan universitinya.
“Saya telah membincangkan perkara ini dengan naib canselor di sebuah universiti sebelum ini dan beliau memberitahu saya bahawa universiti tidak melatih pelajar untuk tempat kerja dan syarikat dan majikan harus menyediakan latihan tambahan,” kata Kang.
“Apabila graduan mula bekerja dan terbukti biasa-biasa saja, maka kita hanya boleh membayar mereka gaji permulaan. Kita bercakap tentang seseorang yang baru dan tanpa pengalaman, dan mungkin memerlukan latihan tambahan oleh syarikat selama enam bulan hingga satu tahun.
“Jika mereka berjaya dalam tempoh percubaan, syarikat itu pasti akan memberi mereka kenaikan gaji,” katanya.
Menggaji graduan bergantung pada nasib
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan berkata, bayaran permulaan RM2,000 merupakan “nilai pasaran”, tetapi tidak bermaksud graduan baharu sudah mendapat kenaikan gaji yang tinggi dalam waktu yang singkat sebaik sahaja membuktikan produktiviti mereka.
Beliau berkata, menggaji graduan baharu adalah bergantung kepada nasib, yang mana sekiranya kamu bernasib baik, kamu akan dapat menggaji pekerja yang baik, dan menyaksikan peningkatan dalam produktiviti syarikat. Dalam erti kata lain, pengambilan pekerja yang tidak bagus bermakna menyediakan latihan tambahan untuk enam bulan sehingga setahun.
Shamsuddin berkata disebabkan oleh kelembapan ekonomi, banyak majikan mengurangkan pengambilan pekerja dan graduan universiti harus menghargai setiap peluang pekerjaan.
“Kerana kos yang meningkat, ramai majikan membeku pengambilan pekerja. Contohnya, kekosongan jawatan pentadbiran di pasaran adalah hanya 4% hingga 5%, sangat sukar untuk mendapatkan pekerjaan sekarang. Sekiranya syarikat sedang mencari pekerja, maka graduan mestilah memanfaatkannya,” katanya.
Ter berkata peningkatan gaji minimum bukan penyelesaian kepada gaji permulaan yang rendah; Sebaliknya, sistem pendidikan keseluruhan memerlukan “perbaikan besar-besaran”.
“Sekiranya kita mahukan graduan untuk dilayan dengan lebih baik, maka ekonomi dan sistem pendidikan Malaysia memerlukan pembaikpulihan yang drastik, pendidikan harus sejajar dengan tuntutan pasaran, maka hanya graduan yang boleh bekerja dan ini hanya boleh dicapai melalui pelbagai dasar kerajaan.”
Jawatankuasa Khas mengenai latihan di tempat kerja
Ter mencadangkan bahawa institusi pendidikan bertemu dengan pemain industri dan membentuk jawatankuasa khas di berhubung latihan di tempat kerja.
“Kita semua boleh duduk dan membentuk pelan tindakan, tetapi pelan ini tidak boleh digunakan untuk lapan hingga 10 tahun akan datang dan akan dikaji semula mengikut tuntutan pasaran. Sebagai contoh, teknologi 5G yang akan datang adalah apa yang baru hari ini akan menjadi usang dalam 2 tahun, jadi pelan tindakan itu perlu dikaji semula, “katanya.
Sementara itu, Kang dari persatuan SME mencadangkan supaya sistem pendidikan diubah, dengan tumpuan yang lebih besar untuk membentuk sikap yang baik di kalangan pelajar, memperbaiki bahasa mereka seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Cina.
“Sepanjang waktu cuti semester, pelajar harus pergi ke syarikat yang berlainan untuk menjalani latihan bagi memahami tuntutan teknikal dan pengetahuan pasaran. Jangan risau tentang upah, kerana majikan pasti akan memberikan kenaikan jika anda melakukan dengan baik.” – 12 Jun, 2019.
Komen